TEHERAN: Jenazah Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel, tiba di Kompleks Keagamaan Grand Mosalla di Teheran pada Jumaat menjelang upacara pengebumiannya, menurut laporan media kerajaan.
Agensi berita rasmi IRNA melaporkan jenazah Khamenei dibawa ke Kompleks Grand Mosalla Imam Khomeini, nama rasmi kompleks berkenaan bagi istiadat penghormatan terakhir.
Persiapan bagi upacara pengebumian Khamenei kini berada pada peringkat akhir, dengan pihak berkuasa menjangkakan jutaan orang serta pemimpin dan wakil asing akan menghadiri majlis rasmi yang dijadual berlangsung pada Sabtu.
Pakistan, yang menjadi pengantara penting dalam rundingan antara AS dan Iran bagi menamatkan perang di Asia Barat, mengesahkan Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif, akan menghadiri upacara itu di Teheran.
China, Afghanistan dan beberapa negara jiran Iran di rantau Caucasus turut memaklumkan akan menghantar wakil masing-masing.
Ketua perunding Teheran, Mohammad Bagher Ghalibaf yang juga Yang Dipertua Parlimen Iran, pada Khamis menggesa rakyat menghadiri upacara itu dalam jumlah besar sebagai tanda membalas kematian pemimpin tertinggi negara itu.
“Seruan bangsa untuk membalas dendam mesti bergema ke seluruh dunia,” katanya.
Upacara pengebumian Khamenei, yang sebelum ini ditangguhkan ketika konflik memuncak, diadakan ketika Iran dan AS sedang mematuhi gencatan senjata yang masih rapuh selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian awal bagi menghentikan peperangan.
Khamenei yang dianggap sebagai tokoh spiritual oleh ramai penganut Syiah, terbunuh pada usia 86 tahun dalam serangan ke atas kediamannya di tengah ibu negara Iran.
Jenazah beliau akan ditempatkan selama tiga hari di Grand Mosalla yang dihiasi dengan kain rentang memaparkan gambar serta kata-kata beliau.
Jenazah beberapa anggota keluarganya yang turut terbunuh juga akan dipertontonkan untuk penghormatan terakhir.
Menurut pihak berkuasa Iran, antara 15 juta hingga 20 juta orang dijangka menghadiri upacara berkenaan, sekali gus berpotensi menjadi istiadat pengebumian negara terbesar dalam sejarah Iran.-AGENSI










