Hafizh, Adam harap WSBK kembali ke Malaysia

Hafizh, Adam harap WSBK kembali ke Malaysia

HAFIZH SYAHRIN (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA, Bruce Lee (tengah) dan Adam Norrodin pada majlis pengumuman penajaan Racing Boy di ibu pejabat MKA di Puchong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kali terakhir Malaysia menganjurkan Kejua­raan Dunia Superbike (WSBK) ialah pada 2016 dan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah amat mengharapkan perlumbaan tersebut dapat kembali ke tanah air memandangkan dua pelumba Malaysia turut beraksi.

Hafizh yang bakal beraksi dalam kelas utama 1,000cc atau kategori Superbike bersama Mie Honda Racing Team berkata, sebagai anak tempatan yang bersaing dalam WSBK, dia amat mengharapkan dapat kembali berlumba di Malaysia, terutama Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Sudah tentu sebagai pelumba Malaysia, kita nak ada perlumbaan di litar sendiri, tetapi saya tak pasti kita akan ada atau pun tidak sebab kali terakhir kita jadi tuan rumah pun pada 2016.

“Jadi, saya harap pihak ber­kenaan atau persatuan sukan pemotoran di negara ini dapat buat sesuatu untuk membawa WSBK ke Malaysia, sudah tentu saya gembira jika kita ada perlumbaan di laman sendiri,” katanya.

Hafizh berkata demikian pada majlis pengumuman penajaan RCB (Racing Boy) bersama seorang lagi pelumba Malaysia, Adam Norrodin yang bersaing dalam kategori Supersport.

Mengulas mengenai persediaan menjelang musim baharu, Hafizh memberitahu, dia amat berharap dapat mempamerkan persembahan baik setelah kecewa dengan prestasi jentera musim lalu.

“Saya berharap pemilik pasukan, Midori Moriwaki menunaikan janjinya untuk menyediakan motosikal terbaik kerana hanya jentera kompetitif dapat membantu persembahan saya dalam perlumbaan nanti,” tegasnya.

Sementara itu, Adam ketika ditanya pandangannya mengenai penganjuran WSBK di Malaysia, anak muda berusia 25 tahun itu turut menyokong jika ada usaha membawa pulang kejuaraan tersebut ke negara ini.

“Saya yakin peminat akan memberi sokongan penuh, selain saya sebagai pelumba beraksi di laman sendiri memberikan satu tambahan motivasi untuk kami mempamerkan persembahan yang lebih baik,” ujarnya.

Bercakap tentang penampilan sulungnya dalam perlumbaan Supersport, Adam menjelaskan, buat masa ini, dia tidak dapat mengulas lebih lanjut kerana belum berjumpa lagi dengan ketua mekanik pasukan, selain hanya akan menguji jentera pada sesi ujian di Portimoa, Portugal, hujung bulan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.