PETALING JAYA: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tetap gembira dengan prestasi yang ditunjukkan anak-anak buahnya biarpun kalah 0-2 kepada kelab Russia, FC Rostov dalam aksi pramusim pertama di Dubai semalam.
Kata Solari, perlawanan di Stadium The Sevens itu amat menguji pasukannya, namun ia situasi yang baik buat Harimau Selatan dalam persiapan mereka untuk mempertahankan rekod merangkul empat gelaran domestik musim lalu.
“Ini perlawanan yang menguji kami sepenuhnya, sesuatu yang telah kami jangkakan apabila bertemu pasukan yang kini di tangga ketiga Liga Russia.
“Saya berpuas hati melihat transisi permainan yang baik, ‘ball possession’ yang mengalakkan dan menggerakkan bola secara satu pasukan.

“Hari ini adalah satu pengajaran yang baik apabila menentang pasukan yang berkualiti. Sekarang kami kembali ke sesi-sesi latihan dan memperbetulkan kelemahan-kelemahan daripada perlawanan ini.
“Niat utama di sini adalah untuk belajar dan mencabar diri kami untuk berhadapan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat supaya kami dapat memperbaiki pasukan dari apa yang kami ada sebelum ini.
“Perlawanan-perlawanan seterusnya juga lebih sukar dan kami perlu bekerja keras setiap hari sebelum bermulanya kempen 2023,” katanya dalam Facebook JOHOR Southern Tigers.
Selain FC Rostov, JDT juga dijadual bertemu kelab Bulgaria, FC Levski Sofia dan dua lagi kelab Russia, FC Lokomotiv Moscow serta juara liga, Zenit St Petersburg. – UTUSAN ONLINE