RIYADH: Keadaan Cristiano Ronaldo nampaknya tidak bertambah baik di Asia Barat apabila terlepas peluang untuk menjaringkan gol dan kemudian diejek pula penyokong lawan yang mengingatkannya kepada Lionel Messi.
Ronaldo berang penyokong Al-Ittihad melaungkan ‘Messi, Messi’ selepas pasukannya, Al-Nassr tewas 3-1 pada separuh akhir Piala Super Saudi
Kapten Portugal itu juga hanya mampu melihat bintang lawan, Abderrazak Hamdallah meledak gol kedua tuan rumah selepas Romarinho meletakkan Al-Ittihad di depan pada minit ke-15.
Hamdallah yang menikmati kejayaan luar biasa dalam Piala Dunia 2022 hingga mara ke separuh akhir bersama Maghribi muncul pemain terbaik di Stadium Antarabangsa King Fahd.
Tidak hanya penyokong tuan rumah, malah Hamdallah turut meraikan jaringannya dengan meniru gaya yang dilakukan Messi ketika bintang Argentina itu menyarung jersi Barcelona menentang Real Madrid yang diwakili Ronaldo dalam aksi El Clasico 2017.
Hamdallah mengangkat bahagian belakang baju dan menunjukkannya ke kamera.
Tindakan itu menambah ‘kesakitan’ Ronaldo yang terdahulu terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan, malah pemenang lima gelaran Ballon d’Or tersebut mencekak pinggang sebelum melambai ke arah rakan sepasukan dengan rasa marah.
Pada separuh masa kedua, Anderson Talisca berjaya menghadiahkan gol pertama Al-Nassr pada minit ke-67, sekurang-kurangnya mengurangkan defisit kepada satu.
Ketika Al-Nassr mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan, pertahanan lawan, Muhannad Al-Shanqeeti menamatkan perlawanan lebih awal dengan meledak jaringan ketiga. – AGENSI