Bermain di Arab Saudi bukan penamat karier saya - Ronaldo

Bermain di Arab Saudi bukan penamat karier saya – Ronaldo

CRISTIANO Ronaldo dan keluarganya menerima sambutan hangat ketika diperkenalkan kepada penyokong Al Nassr di Stadium Mrsool Park, Riyadh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Cristiano Ronaldo menegaskan, perpindahan ke Al Nassr tidak menandakan karier bola sepaknya sudah berakhir kerana dia ingin mengejar lebih banyak rekod di Arab Saudi.

Pemain berusia 37 tahun itu telah menandatangani kontrak yang dipercayai bernilai 200 juta euro (RM930 juta) semusim dan kini menikmati cabaran baharu di Asia Barat.

“Saya sangat berbangga untuk membuat keputusan besar ini dalam hidup dan karier bola sepak saya.

“Saya mahu memberikan visi berbeza tentang negara dan bola sepak.

“Di Eropah kerja saya sudah selesai, saya memenangi segala-galanya. Saya bermain untuk kelab paling penting di Eropah. Bagi saya sekarang, ia adalah cabaran baharu.

“Bagi saya ia bukan pengakhiran kerjaya saya datang ke Arab Saudi, dan saya tidak bimbang tentang apa yang orang katakan,” kata bintang Portugal itu ketika diperkenalkan kepada peminat Al Nassr semalam.

Ronaldo mendakwa dia mempunyai banyak tawaran untuk meneruskan kariernya di kelab dari seluruh dunia, tetapi menegaskan dia memberi kata-katanya kepada Al Nassr.

“Saya boleh katakan sekarang saya mempunyai banyak peluang di Eropah, banyak kelab di Brazil, Australia, AS (Amerika Syarikat), malah di Portugal. Banyak kelab cuba menandatangani saya.

“Tetapi saya memberi kata-kata kepada kelab ini untuk peluang membangunkan, bukan sahaja bola sepak tetapi bahagian lain di negara yang menakjubkan ini.

“Bagi saya, ia satu cabaran yang bagus. Saya tahu apa yang saya mahu dan saya tahu apa yang saya tidak mahu juga.

“Dengan pengetahuan dan pengalaman saya, kami boleh mengembangkan banyak perkara penting.

“Al Nassr mempunyai pasukan bola sepak wanita juga, jadi saya mahu memberikan visi yang berbeza tentang negara dan bola sepak, perspektif semua orang,” katanya.

Kapten Portugal itu turut memberi mesej kepada mereka yang mengkritik keputusannya untuk berpindah ke Arab Saudi dengan menegaskan, dia kagum melihat taraf bola sepak di negara itu.

“Ramai orang bercakap dan memberikan pendapat mereka, tetapi mereka tidak tahu apa-apa tentang bola sepak.

“Dalam 10 atau 15 tahun yang lalu, anda sudah melihat bagaimana bola sepak telah berkembang. Jika dilihat contoh Piala Dunia, satu-satunya pasukan yang menewaskan juara (Argentina) ialah Arab Saudi, jangan lupa itu.

“Saya sangat gembira berada di sini, liga ini sangat kompetitif. Saya tahu itu kerana saya melihat banyak permainan.

“Saya datang ke sini untuk menang, bermain dan menikmati bola sepak saya. Saya mahu menjadi sebahagian daripada kejayaan dan budaya negara. Saya di sini bersama-sama dengan penduduk Al Nassr, jurulatih saya, dan presiden,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya