MELBOURNE: Aryna Sabalenka yang penuh emosi bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Elena Rybakina dalam perlawanan akhir tenis Terbuka Australia hari ini, sekali gus menjulang gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya.
Pemain No. 2 dunia dari Belarus itu terbaring di atas gelanggang sambil menangis sejurus selepas melakar kemenangan 4-6, 6-3, 6-4 dalam pertarungan sengit dua jam, 28 minit di Rod Laver Arena.
Sabalenka, 24, mengesat air matanya sebelum diberikan pelukan hangat oleh juara Wimbledon, Rybakina dari Ukraine yang memberi tentangan sengit kepadanya.

Sabalenka, pilihan kelima kemudian berlari ke tempat duduk penonton untuk meraikan kemenangan bersama pasukannya.
“Terima kasih, pasukan saya, pasukan paling gila dalam jelajah. Kami telah melalui banyak perkara sukar tahun lalu.
“Terima kasih banyak-banyak atas apa yang kamu lakukan untuk saya. Saya sayang kamu semua,” kata Sabalenka kepada pasukannya selepas menerima trofi.
Dia menambah: “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Elena untuk dua minggu yang luar biasa. Anda adalah pemain yang hebat dan sudah tentu kami akan mengharungi lebih banyak lagi pertarungan, semoga di peringkat akhir Grand Slam.” – AFP