‘Pengorbanan Papa tiada tara’

‘Pengorbanan Papa tiada tara’

Farah Nadirah Salahuddin (dua, kiri) dan Ameera Diyana (dua, kanan) bersama Salahuddin Che Ros (tengah) di hari perkahwinan mereka pada 19 September 2020 di Pulau Pinang. – IHSAN FARAH NADIRAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya sendiri yang cari dan jumpa Papa tidur di kaki lima ketika itu (2018), saya tahu perjalanan hidup Papa.”

Itu luahan Farah Nadirah Salahuddin, 28, anak sulung kepada bekas bintang bola sepak kebangsaan era 1990-an, Salahuddin Che Ros yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada usia 53 tahun kelmarin.

Ketika era kegemilangannya, Salahuddin pernah meng­anggotai skuad Projek Olimpik Barcelona 1992 atau Barcelona Babes bersama legenda seperti Azman Adnan, Datuk Ong Kim Swee dan ramai lagi.

Allahyarham yang beraksi di posisi pertahanan juga merupakan tonggak Pahang ketika merangkul Piala Malaysia 1992 sebelum kembali ke pangkuan negeri kelahirannya, Pulau Pinang pada 1994.

Bagaimanapun pada 2018, arena sukan tanah air digemparkan dengan pendedahan wartawan Utusan Malaysia yang menemukan legenda bola sepak negara itu sedang tidur di kaki lima Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur sementara menunggu pembedahan memasukkan perentak jantung.

SALAHUDDIN Che Ros ketika mewakili pasukan bola sepak kebangsaan.

Anak kelahiran Bukit Mertajam itu disahkan menghidap penyakit jantung pada 2009 tetapi penya­kitnya bertambah teruk tiga tahun kemudian sehingga terpaksa berhenti kerja setelah setahun ­bekerja sebagai buruh.

Salahuddin terpaksa tidur di kaki lima setiap kali berulang alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (ISN) kerana tidak mampu menyewa hotel, selain hidup menggunakan ‘jantung bateri’.

“Papa sanggup berkorban tidur di kaki lima selepas menjalani rawatan semata-mata enggan menyusahkan kami yang masih belajar ketika itu.

“Papa memang rapat dengan saya ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dari Diploma hinggalah Ijazah memandangkan saya dan Ameera Diyana (anak kedua) memang tinggal di Kuala Lumpur berbanding Khairulnisa di Melaka,” cerita Farah kepada Utusan Malaysia semalam.

Menceritakan detik-detik terakhir bersama arwah bapa­nya, Farah berkata, kali terakhir mereka berhubung menerusi panggilan video pada Rabu lalu.

Dia mula menyedari tahap ke­sihatan Salahuddin semakin merosot sejak Oktober selepas melihat kaki bapanya bengkak.

FARAH Nadirah Salahuddin sayu di majlis pengebumian bapanya.

“Saya lihat kedudukan Papa tidak selesa dan nampak kaki­nya bengkak ketika itu saya doakan Papa cepat sembuh.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya Rabu lalu menerusi panggilan video. Ketika itu (Rabu) Papa berpesan supaya jaga adik baik-baik, dua tiga hari lagi nanti Papa belanja makan.

“Memandangkan kami semua perempuan, dia mengharap­kan saya sebagai kakak sulung untuk menjaga adik-adik yang lain.

“Ternyata kata-kata tersebut petanda Papa akan pergi selama-lamanya” ujar Farah.

Kata Farah, dia bersyukur ­bapanya sempat melihat dia dan adik, Ameera Diyana melangsungkan perkahwinan pada 19 September 2020.

“Setiap kali Papa berkelapangan dia akan datang ke rumah untuk bermain dengan anak saya, selain kami keluar untuk makan bersama.

“Kini saya sudah tiada tempat untuk mengadu, pada mulanya saya tidak percaya memandangkan baru Rabu lalu berbual dengannya.

“Kami reda dengan apa yang berlaku dan mendoakan semoga Papa ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Selain Farah, dan Ameera Diyana (27), Allahyarham turut ­meninggalkan anak perem­puan, Khairulnisa yang berusia 20 ­tahun.

Allahyarham pernah berkahwin dua kali, namun jodohnya tidak berpanjangan apabila ­kedua-dua perkahwinan me­nemui kegagalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.