PETALING JAYA: Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, perkembangan positif sedang berlaku dalam pasaran perpindahan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini apabila beberapa pasukan mula mengorak langkah membawa masuk bintang dalam Harimau Malaya.
Beliau berharap, pemain kebangsaan tidak hanya tertumpu kepada pasukan tertentu sebagai destinasi pilihan, sebaliknya menyarung jersi pelbagai kelab bagi memastikan Liga M lebih kompetitif, dan pada akhirnya Harimau Malaya juga akan mendapat manfaat.
“Kalau boleh pasukan yang terlibat bukan setakat dua atau tiga pasukan, kerana kita mahu liga kita berada pada tahap lebih tinggi dan kompetitif.
“Kita tidak mahu hanya pasukan tertentu mampu mempamer permainan di tahap tertinggi, tetapi pasukan lain tidak berupaya bersaing sehingga menyaksikan dominasi daripada sebuah pasukan sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa pasukan yang bakal bersaing dalam Liga Super telah mula mengorak langkah mendapatkan pemain berstatus bintang seperti Selangor yang membawa masuk Faisal Halim, V. Ruventhiran dan Khuzaimi Piee.
Sementara Terengganu FC diperkuatkan import dari Thailand, Adisak Kraisorn dan Sabah pula diperkukuhkan oleh Stuart Wilkins, Irfan Zakaria serta Darren Lok.
Menurut Pekan, jika keadaan tersebut dapat dilakukan secara berterusan dan melibatkan lebih ramai pasukan, ia secara tidak langsung memberi perkembangan positif kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Jelasnya, jika sebelum ini pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi skuad kebangsaan tetapi selepas ini, keadaan itu mungkin tidak berulang.
“Malah, selepas ini pilihan pemain dalam skuad kebangsaan akan menjadi lebih kompetitif dengan fokus tidak lagi terarah kepada sebuah pasukan,” ujarnya.
Pekan juga menasihatkan para pemain agar tidak terlalu bersikap materialistik bagi mengejar gaji yang tinggi sehingga berada di luar kemampuan kelab.
“Terpulang kepada pemain sama ada hendak menjadi pemain yang menerima gaji tinggi tetapi sekadar memanaskan bangku simpanan atau dibayar dengan gaji ikut kemampuan pasukan tetapi dapat bermain dalam kesebelasan utama,” tegasnya.