PETALING JAYA: Kes serangan terhadap aktivis, S. Chandrasegaran, 47, atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’, bukan kali pertama berlaku.
Chandra berkata, dia pernah diserang oleh individu tidak dikenali pada tahun 2022, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil terhadap pelaku terbabit.
Menurutnya, sebelum kejadian sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menyerang rumahnya di Taman Kinrara, Puchong semalam, dia juga pernah diserang di sebuah pusat beli-belah di Seremban, Negeri Sembilan pada Oktober 2024.
“Bagaimanapun, insiden tersebut juga tidak menerima sebarang tindakan lanjut daripada pihak berkaitan meskipun saya cedera akibat ditetak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dakwanya, sebelum ini juga dia sering mendapat ugutan daripada individu tertentu melalui aplikasi WhatsApp.
Mengulas keadaan terkini, Chandra berkata, kawalan keselamatan di kawasan rumahnya kini diperketatkan dan dia serta keluarganya masih trauma susulan kejadian yang menimpa mereka.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu bertindak tegas dan tidak melindungi mana-mana pihak memandangkan kes gangsterisme dilihat semakin berani serta menjadi-jadi.
“Kumpulan gangster ini semakin berani. Jangan takut untuk ambil tindakan terhadap mereka yang dipercayai dilindungi individu tertentu,”dakwanya.
Bercerita kejadian yang menimpanya semalam, Chandra berkata, kira-kira pukul 3.30 petang ketika dia berada di rumah bersama dua anaknya, dua lelaki tidak dikenali membuka pagar kediamannya.
Jelasnya, lelaki berkenaan yang memakai topeng hitam dan membawa parang, kemudian memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.
“Apabila menyedari kedatangannya, saya terus menutup pintu hadapan rumah dan mereka masih mengetuk pintu hampir tiga minit.
“Semakan rakaman CCTV mendapati terdapat kira-kira enam individu menaiki dua kenderaan dipercayai berada di luar rumah ketika kejadian,” katanya.
Tambahnya, kejadian tidak terhenti di situ apabila sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumahnya kira-kira pukul 3.20 pagi tadi sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol (molotov cocktail).
“Kereta Proton Ertiga milik saya musnah 100 peratus akibat terbakar manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut rosak akibat kebakaran itu,” katanya. – UTUSAN











