DOHA: Maghribi tidak meratapi kegagalan membawa pulang pingat dari Qatar, sebaliknya pengendali Singa Atlas, Walid Regragui melaungkan keyakinan giliran untuk pasukan Afrika menjulang Piala Dunia sudah semakin hampir.
Jaringan Josko Gvardiol dan Mislav Orsic memastikan skuad bimbingan Zlatko Dalic, Croatia menduduki tangga ketiga selepas menumpaskan Maghribi 2-1 di Stadium Antarabangsa Khalifa semalam.
Bagi Maghribi, yang memperoleh gol tunggal menerusi Achraf Dari pada minit kesembilan, kejayaan muncul negara Afrika pertama layak ke separuh akhir dalam sejarah 92 tahun kejohanan satu pencapaian luar biasa.
Regragui berkata, pasukannya dan negara-negara Afrika lain sudah banyak belajar, malah semakin menyaingi pencabar dari Eropah serta Amerika Selatan yang selama ini mendominasi Piala Dunia.
“Dalam 15 atau 20 tahun lagi, saya pasti pasukan Afrika akan memenangi Piala Dunia kerana kami sudah banyak belajar.
“Kami perlu melalui beberapa peringkat lagi dan bermula semula dengan kerja keras serta keazaman.
“Bagaimanapun DNA baharu ini bukan saja dibina oleh Maghribi tetapi seluruh pasukan di benua Afrika,” kata Walid.
Sementara itu, Croatia pula memberi amaran ‘era emas’ mereka belum berakhir biarpun ramai bintang bakal ‘pencen’ empat tahun dari sekarang.
Perlawanan semalam menjadi Piala Dunia terakhir buat legenda seperti Luka Modric (37 tahun), Ivan Perisic (33) dan Dejan Lovren (33), manakala penyerang utama, Andrej Kramaric (31) serta Mislav Orsic (30) tidak lagi muda.
Begitupun, pengendali mereka, Dalic menegaskan, Croatia ibarat ‘sekolah’ yang terus melahirkan pemain muda.
Selepas muncul naib juara 2018 dan tempat ketiga 2022, pasukan itu akan kekal sebagai pencabar terkuat apabila Piala Dunia kembali pada 2026 di Amerika Syarikat, Kanada serta Mexico.
“Adakah ini penghujung era atau generasi? Saya rasa tidak. Saya percaya Croatia mempunyai masa depan cerah,” kata Dalic.