Aaron, Wooi Yik tumpas kepada 'The Daddies'

Aaron, Wooi Yik pilih laluan sukar selepas tumpas kepada ‘The Daddies’

AARON CHIA-SOH WOOI YIK (AFP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mengulangi kecemerlangan di Tokyo, Jepun apabila mereka tumpas kepada beregu veteran Indonesia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam aksi pertama Kumpulan B pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 di Bangkok, Thailand, hari ini.

Gandingan negara yang menghuni ranking No. 4 dunia itu menentang lawan yang sama pada final kejuaraan dunia, Ogos lalu, namun, kali ini, Aaron-Wooi Yik tewas straight set 12-21, 15-21 dalam masa 32 minit kepada ‘The Daddies’.

Ahsan dan Setiawan yang pernah merangkul gelaran dunia sebanyak tiga kali itu mempamerkan permainan pantas sehingga tidak mampu disaingi beregu No. 1 Malaysia tersebut.

Ketika ditemu bual oleh BWF selepas perlawanan berakhir, Wooi Yik mengakui mereka gagal menyeimbangkan permainan pantas ‘The Daddies’ sehingga membiarkan pencabar mereka itu mendominasi permainan.

“Kami cuba untuk mengawal kembali permainan selepas tumpas dalam set pertama, tetapi nampaknya apa yang kami lakukan serba tidak menjadi.

“Ini satu pengajaran yang berguna buat kami,” katanya.

Aaron turut senada dengan pasangannya itu apabila memberitahu, Ahsan dan Setiawan bermain lebih baik berbanding mereka berdua.

Dalam perlawanan kedua, esok, Aaron-Wooi Yik akan turun beraksi menentang beregu No. 11 dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.

Misi wajib menang perlu digalas beregu negara itu jika berhajat menghidupkan peluang untuk menjejakkan kaki ke separuh akhir.

Sementara itu, nasib sama menimpa dua lagi beregu Malaysia apabila satu lagi gandingan lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan pasangan campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai tunduk kepada lawan masing-masing dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Gandingan No. 8 dunia, Yew Sin-Ee Yi tewas kepada beregu No. 7 dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 19-21, 16-21 dalam masa 39 minit.

Pasangan kekasih, Soon Huat dan Shevon pula akur kepada kehebatan beregu muda Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 12-21, 15-21.

Esok, Yew Sin-Ee Yi akan beraksi menentang beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho, manakala, Soon Huat-Shevon bertemu Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis untuk perlawanan Kumpulan A. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.