fbpx

Rosman sah kembali ke Malaysia, bimbing beregu profesional

Rosman Razak (tengah) ketika membimbing pasukan badminton Filipina.

PETALING JAYA: Bekas penggendali beregu wanita negara, Rosman Razak sah akan kembali berkhidmat semula di Malaysia, kali ini membimbing skuad beregu profesional negara yang berpengkalan di Sri Petaling, Selangor.

Perkara itu disahkan oleh Rosman ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam mengenai status terbarunya itu.

Rosman yang kini berada di Filipina sudah meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih negara itu sejak dilantik Ogos tahun lalu, bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Chin Ee Hui yang akan berkelana ke New Zealand.

“Insyallah, bagaimanapun ketika ini masih sedang memperincikan beberapa perkara dengan Persatuan Badminton Filipina, bulan Januari nanti akan dimaklumkan butirannya,” jelas Rosman ringkas ketika dihubungi.

Terdahulu, pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengesahkan jurulatih berusia 46 tahun ada menghubunginya bagi menguruskan sesi latihan pemain profesional bersama pemain kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Saya ada berbincang dengannya (Rosman) dua bulan lalu mengenai sesi latihan bersama di sini (ABM), apabila dia memulakan tugas pada Januari, baru kita boleh merancang dengan teliti untuk sesi latihan bersama,” jelas Rexy ketika ditemui di ABM semalam.

Rosman merupakan individu yang menjadi arkitek kepada kejayaan beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang memenangi pingat emas di Sukan Komanwel 2014 serta membentuk gandingan Pearly Tan dan M.Thinaah pada 2019.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN