72 parti perlu beri jawapan bertulis - Utusan Malaysia

72 parti perlu beri jawapan bertulis

AZALINA Othman Said (tengah) bersama peserta Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Putrajaya semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua 72 parti politik perlu memberi jawapan bertulis sama ada bersetuju atau tidak terhadap cadangan dalam Rang Undang-undang (RUU) Penda­­naan Politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jawapan bertulis itu wajib ditandatangani oleh presiden dan se­­tiausaha agung sebagai pendirian rasmi terhadap penggubalan RUU berkenaan.

Katanya, setakat ini cada­ngan kawal selia pembiayaan politik itu di peringkat mendapatkan pandangan daripada ahli parti politik sahaja.

“Jawapan bertulis itu juga penting sebagai pendirian rasmi bukan sahaja berkaitan akta pendanaan politik, sebaliknya usaha menentang rasuah.

“Setakat ini, kita baru tanya ahli sahaja. Saya pentingkan jawapan secara bertulis dan ditandatangani presiden serta setiausaha agung parti.

“Cakap menentang rasuah, jadi bagilah surat setuju atau tidak. Takkan cakap menentang rasuah tapi pendanaan politik tak nak,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini, semalam.

Azalina berkata, RUU itu dijangka dapat diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, sebanyak sembilan parameter dasar sedang diperhalusi bagi memastikan mekanisme yang akan diperkenalkan lebih telus, prak­tikal, tegas dan adil tanpa mengekang proses demokrasi yang sah.

Katanya, antara parameter yang diberi perhatian termasuk skop pemakaian, badan kawal selia, sumber serta had sumbangan, larangan sumbangan asing dan saluran penerimaan dana yang boleh dijejaki.

Ujarnya, aspek pelaporan, pengauditan dan pendedahan dan penetapan kesalahan serta penalti juga akan turut diperhalusi.

“Sebagai contoh, kalau orang beri sumbangan kepada parti politik adakah kita nak tanya dari mana sumbernya? Ada negara dana luar tidak boleh dan setiap negara ada format berbeza.

“Kedua kalau disumbangkan dana nanti adakah akan ada penolakan cukai? Di sam­ping itu, adakah boleh beri sumbangan kepada parti lain? Adakah kita nak pastikan kalau ada pihak beri sumbangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh nak kacau? Jadi ini antara yang perlu dilihat,” ujarnya.

Azalina menjelaskan, kerajaan komited untuk merea­li­sasikan reformasi itu dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengambil alih kajian penggubalan RUU Pendanaan Politik sejak Mei 2023 manakala Jemaah Menteri pada 8 September 2023 bersetuju secara prinsip de­ngan cadangan penggubalannya.

Beliau berkata, secara peri­badi sebagai seorang pengamal undang-undang, tanpa akta berkaitan pendanaan politik, lebih banyak pihak dalam arena politik berisiko berhadapan tuduhan rasuah apabila me­nerima dana politik.

Katanya, keadaan itu boleh berlaku kerana niat pemberian bantuan tidak diperjelas, selain tiada rekod seperti resit, makluman jumlah atau butiran bantuan yang diberikan.

“Kalau tiada akta berkaitan dana politik, saya melihat banyak masalah akan wujud. Orang yang memberi bantuan dengan mudah boleh dilihat sebagai melakukan rasuah di­sebabkan niat pemberian itu tidak diperjelas,” katanya.

Mengenai kelewatan penggubalan RUU itu, Azalina menegaskan, ia bukan disebabkan oleh faktor politik, sebaliknya kerana proses tersebut melibatkan prosedur perundangan yang memerlukan penelitian rapi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×