Hukum syarikat Malaysia jika sebabkan jerebu – PM - Utusan Malaysia

Hukum syarikat Malaysia jika sebabkan jerebu – PM

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama ahli keluarga Tun Abdul Razak di Memorial Tun Abdul Razak Jalan Perdana di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan melindungi mana-mana syarikat yang didapati terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan di Indonesia yang membawa kepada isu jerebu rentas sempadan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Indonesia wajar diberi ruang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang terbukti terlibat dalam perkara itu.

Katanya, ASEAN perlu menambah baik mekanisme sedia ada dalam menangani masalah yang memberi kesan kepada kehidupan serta kesihatan orang ramai.

“Kalau ada syarikat Malaysia yang terlibat, kita beri ruang Indonesia ambil tindakan. Pejabat kita tentunya kalau berlaku di sana, tindakan di sana dan kita tidak mempertahankan.

“(Mekanisme) itu ada ruang untuk penambahbaikan. Saya fikir menteri-menteri ASEAN mesti melihat perkara ini secara serius kerana ia menjejaskan kehidupan, khususnya kanak-kanak dan bayi.

“Kita telah melihat keadaan di Serian, Sarawak dan ia amat membimbangkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini, semalam.

Anwar berkata, ASEAN perlu meneliti pendekatan lebih berkesan bagi memastikan jerebu rentas sempadan dapat ditangani secara bersama dan tidak berulang sehingga menjejaskan rakyat.

Beliau berkata, tindakan terhadap pihak terlibat perlu dilaksanakan berdasarkan bukti dan bidang kuasa negara berke­naan bagi memastikan punca jerebu dapat ditangani dengan berkesan.

Dalam pada itu, ketika Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak Hussein, ‘Arkitek Pembangunan Negara Bangsa’ di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana, Anwar mengingatkan bahawa isu perkauman (komunalisme) dan rasuah masih menjadi cabaran besar dan mampu menggugat kestabilan negara sehingga hari ini.

Beliau berkata, Allahyarham Tun Abdul Razak ketika era 1970-an telah mengenal pasti dan memberi peringatan terhadap tiga cabaran besar iaitu komunisme (communism), komunalisme (communalism) dan rasuah (corruption).

Katanya, peringatan tersebut tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai catatan sejarah, sebaliknya perlu dijadikan pedoman oleh generasi baharu dalam memastikan kestabilan dan masa depan negara terus terpelihara.

“C yang pertama, ‘communism’. C yang kedua ialah ‘communalism’. Yang ketiga, bayangkan tahun 70-an, Tun Razak menyebut ancaman ketiga yang bahaya bagi negara iaitu ‘corruption’, itu 3C.

Communism itu sudah tiada tetapi ideologi communalism masih menebal dan corruption masih menjadi salah satu masalah besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×