fbpx

Ronaldo sempat ‘angkat barang’ di Cheshire

CRISTIANO Ronaldo menghantar lori besar untuk mengangkat barang di rumah agamnya di Cheshire, England biarpun sedang berada di Qatar untuk Piala Dunia 2022.

DOHA: Biarpun sedang menggalas tugas berat bersama Portugal dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar, namun Cristiano ­Ronaldo masih sempat memikirkan tentang kehidupannya di England.

Semalam, kapten Portugal itu menghantar sebuah lori besar untuk mengangkat barangan di rumah agamnya di Cheshire kerana dia tidak akan lagi me­nyarung jersi Manchester Uni­ted sebaik sahaja kempen Piala Dunia berakhir.

Ronaldo, 37, menjadi ejen bebas selepas dipecat oleh United berikutan temu bual kontroversi bersama Piers Morgan pada 16 November lalu.

Dia yang meledak gol ketika membantu Portugal me­numpaskan Ghana 3-2 dalam aksi pembukaan Piala Dunia, Khamis lalu mahu mengangkat semua barang dari rumahnya yang di­sewa pada harga 5 juta pound (RM27.08 juta).

Kereta Cadillac Escalade bernilai 150,000 (RM812,500) dan Bentley Flying Spur berharga 300,000 pound (RM1.62 juta) antara yang mahu diangkut menggunakan trak besar.

Bagaimanapun, lori ‘gergasi’ itu terpaksa pulang dengan ta­ngan kosong kerana gagal memasuki kawasan rumah ekoran saiznya yang terlalu besar.

Trak tersebut tidak boleh membelok ke jalan per­sendirian yang curam selepas sejam berusaha memasuki kawasan rumah Ronaldo sehingga terpaksa menahan lalu lintas.

Ronaldo kini perlu menyewa lori lebih kecil untuk membawa barangannya, termasuk peralatan latihan bernilai 50,000 pound (RM270,000).

Pasangan Ronaldo, Georgina Rodriguez masih berada di England dan tidak menemani­nya ke Qatar untuk menguruskan perpindahan mereka. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN