LONDON: Kurang 48 jam sebelum membuka kempen Piala Dunia 2022 bersama Portugal, Cristiano Ronaldo mengumumkan dia tidak lagi bersama Manchester United.
United menamatkan kontrak Ronaldo yang bernilai 500,000 pound (RM2.7 juta) seminggu melalui persetujuan bersama selepas temu bual bintang itu bersama Piers Morgan yang mencetuskan kontroversi.
Kapten Portugal itu meluahkan kenyataan penuh emosi buat penyokong Red Devils dengan menyatakan dia akan sentiasa menyayangi kelab itu dan mendoakan yang terbaik buat pasukan.
— Cristiano Ronaldo (@Cristiano) November 22, 2022
“Susulan perbincangan dengan Manchester United, kami bersetuju untuk menamatkan kontrak secara bersama.
“Saya sayang Manchester United dan sayang kepada peminat, itu tidak akan pernah berubah.
“Saya fikir ini masa yang sesuai untuk mencari cabaran baharu. Saya doakan yang terbaik buat Manchester United,” katanya.
Ronaldo mengkritik United ketika temu bual bersama Morgan apabila mendakwa dirinya dikhianati oleh kelab itu.
Pemenang anugerah Ballon d’Or lima kali itu turut mengecam pengurus, Erik ten Hag, Glazers, selain bekas rakan sepasukan, Gary Naville dan Wayne Rooney.
Berita Ronaldo meninggalkan United hadir kurang 48 jam sebelum Portugal membuka kempen Kumpulan H, Piala Dunia 2022 menentang Ghana, awal pagi Jumaat ini. – AGENSI