fbpx

Qatar di ambang penyingkiran, kalah 1-3 kepada Senegal

PENYERANG Qatar, Almoez Ali (tengah) bersalaman dengan pemain Senegal, Iliman Ndiaye (kanan) sejurus tamat perlawanan Kumpulan A, Piala Dunia 2022 di Stadium Al-Thumama, Doha hari ini. - AFP

DOHA: Juara Afrika, Senegal menghidupkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati dalam Piala Dunia 2022 apabila menumpaskan Qatar 3-1 sebentar tadi, sekali gus meletakkan tuan rumah di ambang penyingkiran.

Qatar akan tersingkir sekiranya Belanda menang atau seri dengan Ecuador dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A yang akan berlangsung pada pukul 12 tengah malam ini.
Sekiranya itu berlaku, Qatar akan memahat sejarah buruk, muncul negara tuan rumah pertama terkeluar daripada kejohanan hanya selepas dua perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Al Thumama itu, Senegal berada di hadapan pada minit ke-41 menerusi jaringan Baulaye Dia yang bijak memanfaatkan peluang terhidang di depan gawang.

Pada separuh masa pertama, Senegal mendahului 1-0 dan bersambung babak kedua, anak-anak buah Aliou Cisse tidak menunggu lama apabila meledak gol kedua pada minit ke-48 menerusi Famara Diedhiou.

Qatar berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-78 menerusi Mohammed Muntari, namun Bamba Dieng menoktahkan kebangkitan pasukan tuan rumah menerusi gol ketiga pada minit ke-84.

Pasukan tuan rumah yang tumpas 0-2 kepada Ecuador dalam aksi pembukaan, Ahad lalu akan menentang Belanda dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Senegal pula akan bertemu Ecuador dalam perlawanan yang dijangka sengit dan bakal penentu pasukan mana ke pusingan kalah mati. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN