KL boleh menang kalau TFC goyang

KL boleh menang kalau TFC goyang

PEMAIN import Terengganu FC memberi pose istimewa ketika sesi latihan semalam menjelang pertemuan menentang KL City malam ini. - IHSAN KL CITY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Menang 1-0 dalam aksi pertama minggu lalu bukan bekalan selesa, dan Kuala Lumpur City (KL City) boleh mengejutkan Terengganu FC (TFC) pada suku akhir kedua Piala Malaysia malam ini jika Sang Penyu gagal menampilkan permainan terbaik.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, turun sebagai juara bertahan dan naib juara Piala AFC, KL City mampu me­ngancam biarpun mereka berjaya menundukkan skuad The City Boys itu di Cheras, Ahad lalu.

Katanya, KL memiliki kelebihan pengalaman pemain dan ke­tua jurulatih, Bojan Hodak, malah mempunyai senjata dalam situasi bola mati melalui sentuhan Paulo Josue.

“Bekalan 1-0 bukan selesa tetapi yang penting TFC mendahului satu gol untuk memulakan aksi timbal balik di laman sendiri.

“Kita tahu pemain KL City di semua posisi cukup berkualiti dan dengan corak permainan serangan balas, Hodak pas­ti merencana sesuatu untuk mengimbangi kedudukan agregat.

PEMAIN KL City tiba di Kuala Terengganu semalam. – IHSAN KL CITY

“TFC akan bertemu pasukan yang baik dan kedua-duanya berpeluang ke separuh akhir. Mungkin pemenang akan ditentukan oleh karakter pemain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Nafuzi menjelaskan, skuad bimbingannya tidak akan menukar rentak permainan susulan layangan kad merah kepada pemain TFC dalam dua perlawanan berturut-turut.

Mereka sebaliknya akan kekal dengan corak menyerang selain sudah membuktikan keupayaan memenangi perlawanan meskipun beraksi dengan 10 pemain sebelum ini.

“Ketiadaan penjaga gol, Suhaimi Husin, tidak merisaukan kerana kami ada pengganti setanding, Rahadiazli Rahalim dan Sharmiza Yusoff yang bersedia diturunkan.

“Tonggak pertahanan, Shahrul Nizam Roshasni juga akan memperkuatkan benteng TFC setelah kembali daripada penggantungan satu perlawanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN