LONDON: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menganggap pertembungan dengan juara bertahan, Real Madrid pada pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara sesuatu yang patut mengujakan seluruh pasukan.
Reds akan menerima kunjungan juara 14 kali itu di Anfield pada 22 Februari, sebelum bertandang ke Santiago Bernabeu pada 16 Mac.
Pertemuan itu adalah ulangan final musim lalu, di mana Liverpool tumpas 0-1 kepada Real di Stade de France, Paris.
Real juga anak-anak buah Klopp 3-1 dalam perlawanan akhir musim 2017-2018, selain menang secara agregat 3-1 pada suku akhir musim 2020-2021.

“Perkara pertama yang boleh kami katakan mengenai undian ini ialah ia Liga Juara-Juara yang betul. Ini adalah perlawanan yang membuatkan kita semua patut teruja.
“Saya tahu kami telah menentang Real Madrid dalam beberapa perlawanan akhir baru-baru ini, tetapi tidak begitu kerap, tetapi kini kami boleh menantikan perkara ini berlaku,” ujar Klopp.
Real Madrid pasukan Eropah paling berjaya sepanjang zaman, memenangi 14 gelaran Liga Juara-Juara dan Piala Eropah, termasuk lima dalam tempoh sembilan tahun yang lalu.
Kali terakhir Liverpool memenangi trofi berprestij itu pada 2018-2019 untuk kejuaraan keenam mereka – jumlah yang hanya diungguli oleh Real, dan juga AC Milan yang telah memenanginya tujuh kali.

“Real adalah pasukan terbaik di Eropah tetapi kita juga tahu kita tidak terlalu buruk. Selain itu kami mempunyai Anfield dan semua orang tahu maksudnya.
“Undian yang sungguh mengujakan, perlawanan itu sendiri masih beberapa bulan lagi tetapi ia tidak memerlukan banyak imaginasi untuk memikirkan bagaimana suasana kedua-dua perlawanan.
“Terdapat banyak bola sepak yang perlu dimainkan sebelum ini, sudah tentu, jadi kami akan memberi tumpuan kepada setiap perlawanan yang akan datang, keputusan ini memberi kami sesuatu yang istimewa untuk dinantikan,” jelasnya.
Liverpool bermula dengan perlahan musim ini dalam saingan Liga Juara-Juara selepas menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A di belakang Napoli.
Dalam Liga Perdana, pasukan Klopp hanya memenangi lima daripada 13 perlawanan mereka setakat ini dan menduduki tempat kelapan, ketinggalan 15 mata dari Arsenal yang memimpin liga. – AGENSI