LONDON: Jet pejuang F-16 mengiringi pesawat yang membawa skuad bola sepak kebangsaan Poland menuju ke Qatar untuk Piala Dunia 2022.
Kejohanan bola sepak terbesar dunia itu akan membuka tirai Ahad ini dengan pasukan tuan rumah menentang Ecuador dalam perlawanan pertama Kumpulan A.
Semalam, dua pesawat tentera mengapit ‘superstar’ Poland, Robert Lewandowski dan rakan-rakannya yang menggalas cabaran untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak 1986.
Sebab utama penerbangan itu dilakukan adalah kerana kematian dua warga Poland di ladang kira-kira 10 kilometer dari sempadan Ukraine, Selasa lalu.
Robert Lewandowski and the rest of the players on Poland’s National Football Team taking pictures of the Polish F-16 fighter jets escorting their plane to the border with Slovakia.
The Polish players are on their way to the World Cup in Qatar. pic.twitter.com/a64afadCoJ
— Visegrád 24 (@visegrad24) November 17, 2022
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengadakan mesyuarat tergempar berikutan kematian dua petani itu.
Presiden Poland, Andrzej Duda berkata, ‘insiden malang’ itu kemungkinan besar disebabkan oleh roket pertahanan udara Ukraine.
Biarpun Setiausaha Agung NATO mengatakan tiada sebarang petunjuk serangan datang dari Russia, namun Poland enggan mengambil risiko dengan mengiringi penerbangan skuad kebangsaan mereka sehingga ke sempadan negara itu.

“Kami diiringi ke sempadan selatan Poland oleh pesawat F16!
“Terima kasih kepada juruterbang!” tulis akaun Twitter skuad kebangsaan Poland. – AGENSI