PETALING JAYA: Barisan pemain Harimau Malaya optimis skuad Malaysia kini semakin hampir untuk menempah tiket di pentas Piala Dunia.
Walaupun impian menyaksikan skuad kebangsaan beraksi di pentas Piala Dunia seakan angan-angan kosong namun barisan pemain Harimau Malaya tetap optimis bahawa Malaysia menempah tiket di pentas tertinggi bola sepak.
Berdasarkan prestasi semasa dan kombinasi barisan pemain terbaik serta kreativiti dimiliki jurulatih Harimau Malaya menyaksikan tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun akan datang Malaysia mungkin layak bermain di Piala Dunia.
Bagi tonggak utama Harimau Malaya, Ahmad Khuzaimi Piee dia melihat jika rezeki berpihak kepada Harimau Malaya kemungkinan boleh menyaksikan Malaysia bermain di Piala Dunia empat tahun lagi.
“Bagi saya rezeki tak boleh nak jangka, mungkin empat tahun akan datang Malaysia layak ke Piala Dunia..kita tak tahu perkara itu mungkin boleh berlaku.
“Saya harap pemain yang dipanggil mewakili negara dapat membantu mencipta sesuatu untuk negara kelak,” katanya pada majlis pelancaran jersi baharu Harimau Malaya di Sunway Pyramid semalam.
Hadir sama pada majlis terbabit adalah barisan kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang terdiri daripada Presidennya Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Timbalan Presiden Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.
Keyakinan sama disuarakan seorang lagi pemain Harimau Malaya, V Ruventhiran impian tersebut semakin hampir berdasarkan kepada komitmen dipamerkan semua pihak untuk merealiasikan impian itu.
“Tak jauh lagi..sudah dekat kita percaya dengan jurulatih (Kim Pan-gon) dan barisan pemain. Apa yang penting adalah buatkan penyokong Malaysia berbangga dengan Harimau Malaya,” katanya.