fbpx

England, Belanda jejak kaki di Qatar

PEMAIN England, James Maddison, Jack Grealish dan Mason Mount bersama skuad England disambut meriah sebaik sahaja tiba di Doha, Qatar semalam menjelang Piala Dunia 2022. - IHSAN THE FA

DOHA: England dan Belanda menjadi pasukan gergasi Piala Dunia pertama yang mendarat di Qatar semalam ketika Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino sekali lagi menggesa pasukan untuk hanya fokus kepada bola sepak.

Pasukan England kendalian Gareth Southgate, yang diterajui penyerang Harry Kane, berusaha menjadi juara dunia buat kali kedua selepas tersingkir pada separuh akhir empat tahun lalu di Russia.

Mereka meningkatkan harapan penyokong yang amat bersemangat dengan mara ke final Kejohanan Eropah (Euro) 2020 tahun lalu tetapi bergelut dengan prestasi sejak kebelakangan ini.

HARRY Kane dan Gareth Southgate ditemubual media sebaik sahaja tiba di Doha.

“Keseronokan kian meningkat dalam kalangan semua orang. Kami gembira berada di sini dan tidak sabar untuk berada di padang latihan,” kata Kane.

Sementara itu, Belanda bersama jurulatihnya yang lantang, Louis van Gaal yang tidak menyembunyikan pandangan bahawa Qatar tidak sepatutnya dibenarkan menjadi tuan rumah Piala Dunia, turut tiba.

“Hello @FIFAWorldCup, kami di sini! Tidak sabar untuk bermula!” tulis pasukan Belanda dalam Twitter bersama gambar ketibaan.

LOUIS van Gaal dan Virgil Van Dijk turun dari pesawat sebaik sahaja tiba di Termilan Acara Khas Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha semalam. 

Belanda adalah naib juara 2010 dan menduduki tempat ketiga empat tahun kemudian tetapi tidak layak ke kejohanan 2018 di Russia.

Juara bertahan, Perancis dan juara Piala Dunia dua kali, Argentina dijangka tiba di Qatar hari ini.

Rayuan FIFA untuk menukar fokus kepada bola sepak tidak didengari sebahagian negara ketika mereka menantikan sepak mula Ahad ini sambil mengkritik layanan Qatar terhadap pekerja migran, wanita dan komuniti LGBT. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN