Embolo lahir di Cameroon, menang bersama Switzerland

Embolo lahir di Cameroon, menang bersama Switzerland

EMBOLO memilih untuk tidak meraikan jaringannya ketika menentang Cameroon bagi menghormati negara kelahirannya dalam aksi di Stadium Al Janoub hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Breel Embolo muncul wira Switzerland apabila meledak gol tunggal ketika pasukannya menewaskan Cameroon 1-0 untuk memulakan kempen Piala Dunia Qatar 2022 dengan kemenangan.

Bagaimanapun, dalam aksi di Stadium Al Janoub, Embolo memilih untuk tidak meraikan jaringannya pada minit ke-48 itu bagi menghormati Cameroon yang juga merupakan negara kelahirannya.

Kemenangan itu membolehkan Switzerland meraih tiga mata berharga dalam Kumpulan G yang turut dianggotai oleh pasukan pilihan kejohanan kali ini iaitu Brazil selain pasukan Serbia.

Switzerland mendominasi peringkat awal separuh masa pertama dengan asakan hebat tetapi, gagal mengatasi pertahanan Cameroon yang perlahan-lahan meningkatkan keyakinan dan mencipta dua peluang terbaik mereka.

Cameroon juga cuba melakukan serangan balas melalui Bryan Mbeumo namun, rembatannya sedikit tersasar selain percubaan Eric Maxim Choupo-Moting diselamatkan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer.

Bola kemudiannya melantun ke kaki Karl Toko-Ekambi tetapi, penyerang itu gagal menyempurnakan peluang terhidang selepas sekadar menyepak bola tinggi melepas palang.

Tidak lama selepas itu, Sommer sekali lagi muncul penyelamat selepas menafikan percubaan Choupo-Moting dari jarak dekat selepas penyerang Bayern Munich itu menembusi benteng Switzerland dan keputusan kekal 0-0 hingga tamat separuh masa pertama.

Tiga minit separuh masa kedua bersambung, Switzerland mendahului menerusi Embolo selepas Granit Xhaka memulakan pergerakan di bahagian tengah dan menghantar bola kepada Xherdan Shaqiri sebelum melakukan hantaran silang.

Hantaran silang rendah itu betul-betul sampai di kaki Embolo yang tidak dikawal dalam kotak penalti sebelum pemain kelahiran Cameroon itu dengan tenang merembat bola melepasi Andre Onana.

Onana yang juga penjaga gol Inter Milan layak diberikan pujian selepas dia mempamerkan aksi menyelamat cemerlang ketika menggagalkan percubaan Ruben Vargas untuk memastikan Cameroon tidak dibolosi buat kali kedua.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat untuk memastikan Switzerland mengutip tiga mata pertama dalam saingan kali ini.

Selepas ini, Switzerland akan berdepan tugas getir berdepan Brazil manakala, Cameroon akan menentang Serbia.-AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.