Borussia Dortmund 'ajar' JDT 4-1

Borussia Dortmund ‘ajar’ JDT 4-1

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi cuba melepasi pertahanan Borussia Dortmund, Nico Schulz pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Gergasi bola sepak Jerman, Borussia Dortmund memberi pengajaran berguna kepada jaguh bola sepak negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menang 4-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Biarpun turun tanpa pemain utama yang menyertai Piala Dunia 2022 di Qatar dan dibarisi pemain muda, juara Bundesliga lapan kali itu tetap mempamer aksi terbaik berdepan pemenang Piala Malaysia 2022.

Hasilnya, Dortmund berjaya menjaringkan gol ketika permainan baru berusia 10 minit hasil jaringan Goktan Gurpuz untuk meletakkan pasukan itu mendahului.

Gurpuz bijak menghidu peluang menyambar bola muntah yang gagal dikeluarkan Farizal Marlias dari zon bahaya ketika menafikan percubaan Donyell Malen.

 

PEMAIN pertahanan Borussia Dortmund, Nico Schulz menyepak bola keluar pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Dormund yang memenangi trofi Liga Juara-Juara musim 1996-1997, selain Piala Antara Juara Eropah 1965-1966 terus ghairah melancarkan serangan dan hampir menggandakan jaringan, namun rembatan lerek Malen sedikit tersasar ketika Farizal sudah tertewas.

Pada aksi persahabatan jelajah Asia itu menyaksikan skuad kendalian Edin Terzic menambah gol menerusi jaringan Malen yang menyempurnakan bola umpanan Jayden Braaf pada minit ke-24.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan tuan rumah kembali mengatur gerakan untuk memburu gol sulung, namun gagal menembusi benteng ampuh skuad Hitam Kuning.

Benteng ampuh Dortmund itu akhirnya roboh juga berpunca daripada gerakan Arif Aiman Hanapi yang merampas hantaran Soumaila Coulibaly membuat larian ke dalam kotak sebelum melepaskan rembatan ke arah penjuru kiri gawang menewaskan Alexander Meyer pada hujung babak pertama.

PENYERANG JDT, Arif Aiman meraikan jaringannya di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Dortmund melebarkan jurang gol bagi memisahkan kedua-dua pasukan hasil jaringan Oleh Pohlmann yang melepasi kawalan pertahanan sebelum melakukan sepakan lambung melewati Farizal pada minit ke-60.

Ketika skuad Harimau Selatan rancak mengatur gerakan, Dortmund membuat serangan balas dan memperoleh gol menerusi Samuel Bamba yang menggelecek melepasi Feroz Baharudin sebelum melepaskan rembatan deras meletakkan pasukan pelawat selesa di hadapan.

Selepas ini, Dortmund dijadualkan terbang ke Vietnam bagi meneruskan siri Jelajah Asia kelab itu sementara menunggu kempen Piala Dunia berakhir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya