LONDON: Mikel Arteta menegaskan, kekalahan Arsenal kepada Brighton dalam Piala Liga semalam tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku dan mereka tidak sepatutnya tumpas.
Buat kali kedua dalam 20 penampilan, pendahulu Liga Perdana Inggeris itu tersingkir di pusingan ketiga selepas tewas 1-3 di depan penyokong sendiri.
Jadual perlawanan padat, ditambah dengan Piala Dunia 2022 yang akan membuka tirai kurang dua minggu dari sekarang memaksa Arteta menurunkan skuad kedua.
Arsenal masih mengatasi Manchester City dalam Liga Perdana tetapi terus kempunan Piala Liga sejak kali terakhir memenanginya pada 1993.
Eddie Nketiah meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-20, namun penalti Danny Welbeck, selain gol Kaoru Mitoma dan Tariq Lamptey memastikan kemenangan Brighton.
“Keputusan ini tidak menggambarkan apa yang berlaku. Kami jelas lebih baik, malangnya gagal memanfaatkan peluang,” kata Arteta.
Sementara itu, Manchester City menambah tekanan Graham Potter apabila menyingkirkan Chelsea 2-0.
Turut tersingkir, Tottenham yang tumpas 2-0 kepada Nottingham Forest sekalipun menurunkan Harry Kane dalam kesebelasan utama.
Juara bertahan, Liverpool yang menurunkan barisan kedua diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menyingkirkan kelab Liga Satu, Derby 3-2 selepas terikat 0-0 di Anfield. – AGENSI