Almoez ledak gol di tiga benua

Almoez ledak gol di tiga benua

ALMOEZ ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

DILAHIRKAN di Sudan, Almoez Ali mengetuai tugas berat Qatar yang mengelak tersingkir awal dari Piala Dunia 2022, sekurang-kurangnya bagi menjaga maruah selaku tuan rumah.

Sudah meledak 42 gol daripada 85 penampilan, penyerang ampuh kelab Al-Duhail itu mula mencuri tumpuan ketika membantu Qatar muncul juara Piala Asia buat kali pertama pada 2019.

ALMOEZ ALI
Nama penuh: Almoez Ali Zainalabedeen
Mohamed Abdulla
Tarikh lahir: 19 Ogos 1996
(26 tahun)
Tempat lahir: Khartoum, Sudan
Ketinggian: 1.80 meter
Posisi: Penyerang
Kelab: Al-Duhail
Pendapatan: AS$5 juta (RM22.73 juta)

Dia memecah rekod legenda Iran, Ali Daei (8) apabila meledak sembilan gol sepanjang kejohanan untuk memenangi Kasut Emas penjaring terba­nyak, malah dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP).

Mula terlibat dalam bola sepak seawal usia tujuh tahun selepas mengikut keluarganya berhijrah dari Sudan ke Qatar, Almoez sentiasa mengimpikan untuk beraksi di pentas Piala Dunia.

Kariernya semakin berkembang sejak berkelana ke Eropah untuk berkhidmat dengan skuad bawah 19 tahun KAS Upen di Belgium pada 2014.

Sejak itu perjalanan karier Almoez bersama beberapa kelab di sana, LASK Linz (Liga Austria) serta kelab divisyen lima Sepanyol, Cyd Leonesa sebelum dia pulang ke Qatar pada 2016 untuk menyertai Lekhwiya.

Keputusan untuk pulang ke Qatar amat tepat apabila karier Almoez semakin bergemerlapan, dan negaranya terpilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

Tahun lalu, dia memahat sejarah muncul pemain pertama meledak gol dalam tiga kejohanan benua berbeza apabila membantu Qatar mengikat Panama 3-3 pada Piala Emas CONCACAF di Amerika Syarikat.

Setahun sebelum itu, dia meledak gol dalam aksi Copa America ketika Qatar bermain sebagai pasukan jemputan dan menentang Paraguay.

Sudah memahat rekod peri­badi, Almoez yang membentuk keserasian bersama rakan penyerang, Akram Afif menjadi sandaran utama jurulatih Qatar, Felix Sanchez menumpaskan Ecuador dalam aksi pembukaan di Doha hari ini.

Biarpun Belanda dan Se­negal diletak sebagai pilihan dalam Kumpulan A, namun beraksi di depan sokongan padu penyokong tempatan, Almoez memasang impian besar untuk memastikan Qatar mara sekurang-kurangnya ke peringkat kalah mati dalam penampilan sulung Piala Dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN