MANCHESTER: Manchester City dan Liverpool menghabiskan banyak wang untuk menguatkan jentera serangan mereka musim ini dengan membawa masuk Erling Haaland dan Darwin Nunez.
Begitupun, pada ketika Haaland memulakan musim yang luar biasa dengan meledak 15 gol daripada 10 penampilan pertama, Nunez pula belum menunjukkan kemampuan sebenar bersama Liverpool.
Esok, kedua-dua penyerang muda itu akan bertembung buat kali kedua, di mana Haaland sekali lagi menjadi tumpuan dan Nunez berada di bawah pemerhatian penyokong Reds.

Nunez yang dibeli pada harga 75 juta euro (RM345.16 juta) daripada Benfica agak perlahan di awal musim tetapi mula menyerlahkan kemampuan ketika membantu Liverpool membelasah Rangers 7-1 dalam kempen Liga Juara-Juara kelmarin.
Penyerang Uruguay itu juga menghukum City pada pertemuan ‘pembuka tirai’ musim ini apabila jaringannya membantu Reds menang 3-1 untuk menjulang Perisai Komuniti, 31 Julai lalu.
Begitupun sejak kemenangan itu, Haaland, 22, jauh lebih menonjol dan bersedia menghukum Reds di Anfield.

“Saya tidak pernah melihat pemain seperti ini (Haaland). Dia amat luar biasa dalam musim pertamanya bersama kami, ” kata penyerang City, Jack Grealish.
Sementara itu, dua gol Nunez dalam dua aksi terakhir Liverpool – bertemu Arsenal dan Rangers menggambarkan dia semakin menemui sentuhan bersama Liverpool.
“Anda boleh lihat apa yang Darwin lakukan amat bermakna buat dirinya.
“Dia amat lega. Semua usaha sudah berbalas. Marilah kita berharap dia dapat bermula dari sini,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp.
Pertembungan esok pentas sempurna buat Nunez, 23, membuktikan dia juga boleh menjaringkan gol berdepan lawan hebat.
Masalahnya, Haaland yang direhatkan ketika City berdepan Copenhagen dalam saingan elit Eropah kelmarin akan tampil lebih segar dan bersedia meledak sekali lagi. – AGENSI