Pembangunan bola sepak negara di tangan seorang menteri?

Pembangunan bola sepak negara di tangan seorang menteri?

SEBAHAGIAN peserta Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari bergambar di hadapan bangunan utama selepas majlis perasmian akademi itu oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Gambang pada 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROSES melahirkan pemain bola sepak di peringkat sekolah untuk diasah menjadi pemain yang membintangi Harimau Malaya bukanlah terletak di bahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sebaliknya ia banyak bergantung kepada senario politik negara November nanti.

Kenapa bakal Menteri Belia dan Sukan selepas ini memegang kunci kepada kemenjadian seorang bakat muda yang boleh dibentuk mewakili negara?

Jika bola sepak tanah air berpaksikan sumbangan kelab pada 1920-an hingga 1930-an, tertubuhnya Majlis Sukan Sekolah-sekolah Persekutuan Tanah Melayu (MSSPTM) pada 3 Mac, 1958, dengan geran RM10,000 menjadikan semua aktiviti sukan membabitkan pelajar sekolah, sama ada dalam kejohanan tempatan mahupun luar negara, dikendalikan oleh badan bukan kerajaan itu.

Bergerak secara sukarela ibarat mana-mana persatuan sukan, MSSPTM diketuai oleh pengetua Sekolah Menengah Methodist, Takamizu Mori yang juga bekas pemain ragbi dan bola sepak, serta setiausaha pengasas, Toh Boon Huah dengan semua jawatan dibuat menerusi proses pemilihan.

Hanya apabila Allahyarham Tan Sri Mohd. Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran, tanggungjawab MSSPTM yang dijenamakan sebagai MSSM pada 1963, diambil alih bahagian sukan kementerian di bawah Akta Pelajaran 1961, memberi kuasa kepada Menteri melaksanakan program menggalakkan kecemerlangan sukan di peringkat sekolah, termasuk menyediakan jurulatih bertauliah bermula 1968.

AKADEMI Mokhtar Dahari pusat untuk melahirkan pemain bola sepak peringkat akar umbi.

FAM sudahpun menyediakan platform Piala Burnley sejak 60 tahun lalu, dihadiahkan kepada jurulatih Choo Seng Quee hasil lawatan sambil belajar beliau di Burnley pada 1961, dengan mengehadkan pertandingan kepada bawah 19 tahun, manakala Piala Sheffield dikhaskan untuk bawah 15 tahun.

Bagi dekad-dekad seterusnya, pelbagai pertandingan diadakan, termasuk Piala Burnley dijenamakan sebagai Piala Razak, disokong kejohanan seperti Piala Rahman, manakala program latihan ditunjangi Tunas Bola Sepak, Akademi FAM, projek bersama KPM-MSN-FAM dan Liga KPM selain Piala Belia dan Piala Presiden.

Akhirnya PPBN dilancarkan menerusi Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara pada awal 2010, dengan dana permulaan kerajaan berjumlah RM10 juta susulan kejayaan skuad Bawah 23 tahun merangkul emas di Sukan SEA 2009.

PPBN dilancarkan hasil inisiatif Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dengan timbalannya Datuk Razali Ibrahim mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Bolasepak KBS-MSN-FAM, manakala Lim Kim Chon selaku pengarah projek. Penyerang yang kini berada di KV Kotrijk, Luqman Hakim Shamsuddin adalah generasi ­perintis program ini.

LUQMAN HAKIM SHAMSUDDIN

Pada 2014, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memperkenalkan adik Kim Chon, Teong Kim, sebagai pengarah projek dan PPBN diperkasakan dengan elemen pendidikan kejurulatihan serta pengenal pastian bakat lebih menyeluruh.

Dengan membawa masuk Saad Ichalelene, Abdifitaah Mohamad Hassan dan Franck Plaine mereka menguatkan proses mengenal pasti dan mengasah bakat.

Apabila penyusunan semula tugasan dilakukan pada lewat 2019, Teong Kim ditugaskan menjaga projek elit di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebelum diganti oleh Dennis Bekking.

Saad secara rasmi dilantik sebagai Pengarah Teknikal PPBN selepas diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu NFDP yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin serta wakil pe­ngurusan tertinggi PPBN termasuk Kementerian Pendidikan dan Majlis Sukan Negara (MSN).

 

Bersama jurulatih tempatan seperti Aminuddin Hussein, P. Ganasamurthy dan Datuk ­Richard Scully, Saad dan Abdi adalah watak penting menanam falsafah kejurulatihan dan corak permainan moden dalam kalangan pelatih PPBN ke semua lapisan piramid pembangunan PPBN, iaitu Akademi Tunas (AT) di peringkat paling asas, Pusat Latihan Daerah (PLD) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN).

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

Andai Syed Saddiq berjaya mendapatkan kelulusan Parlimen untuk menambah bajet pembangunan bola sepak kepada RM45 juta bagi tahun 2020, penggantinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican terbelenggu dengan pandemik Covid-19.

Datuk Seri Faizal Azumu pula memberi titik noktah kepada kepakaran asing yang banyak membentuk DNA bola sepak negara dalam kalangan remaja, termasuk kelompok yang layak ke Piala Asia AFC Bawah 17 tahun pada 2023.

Apakah agaknya keputusan besar Menteri seterusnya yang harus mempengaruhi hala tuju bola sepak negara?

*Penulis adalah juri anugerah berprestij Ballon d’Or

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya