MotoGP Malaysia 2022 tetap meriah - Shafriman

MotoGP Malaysia 2022 tetap meriah – Shafriman

SAINGAN MotoGP Malaysia tetap berlangsung dengan meriah di Litar Antarabangsa Sepang meskipun jualan tiket sebelum ini agak perlahan.- UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia masih mendapat sokongan penuh daripada peminat sukan pemotoran tanah air, apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berjaya menarik seramai 163,567 penonton bagi menyaksikan perlumbaan yang berlangsung selama tiga hari.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, setelah beberapa bulan pihaknya bertungkus-lumus membuat perancangan rapi untuk menganjurkan kembali GP Malaysia, akhirnya kerja keras itu ternyata berbaloi.

“Alhamdulillah, sekarang GP Malaysia sudah pun berakhir. Saya rasa semua dapat lihat di Grandstand ramai yang datang hari ini (kelmarin) memberi sokongan padu kepada perlumbaan tahun ini.

“Insya’Allah, tahun depan kita akan buat lagi terbaik, jadi, untuk ketiga-tiga hari apa yang kita isytihar kepada Dorna ialah lebih 163,000 orang penonton telah hadir, itupun jumlah tersebut kita catat pada pukul 2 petang.

“Selepas waktu itu sebenarnya masih ramai hendak masuk dan saya merasakan kedatangan orang ramai secara keseluruhan berjaya capai 170,000, tetapi kita perlu isytihar pada pukul 2 petang,” katanya kepada pemberita selepas tamat GP Malaysia di sini, kelmarin.

Sebelum ini, SIC menerima tekanan ekoran jualan tiket yang agak perlahan selepas dua tahun negara ini tidak menganjurkan GP Malaysia, selain cukai hiburan yang dikenakan dan faktor ketiadaan pelumba negara secara tetap.

Menurut Shafriman, untuk hari perlumbaan sahaja iaitu pada Ahad, jumlah penonton yang membanjiri SIC ialah 88,615 orang.

Mengulas pula tentang kalender kejuaraan motosikal dunia yang berubah pada tahun depan, beliau menjelaskan, Dorna (pemegang hak siaran MotoGP) merancang untuk datang ke Sepang pada September, tetapi selepas rundingan, tarikh telah dianjakkan kepada 12 November.

“Jadi, kita akan menjadi perlumbaan ketiga terakhir sebelum Qatar dan Valencia. Untuk tahun akan datang, mungkin kita akan bincang balik, dapatkan kembali pusingan kedua terakhir supaya SIC berada di kedudukan yang bagus,” ujarnya.

Bercakap pula tentang pelumba ZK Racing, Syarifuddin Azman atau Damok yang disahkan akan berlumba secara tetap musim depan, Shafriman yakin sokongan yang diberikan rakyat Malaysia akan lebih baik pada 2023.

Berhubung harga tiket pula, Shafriman berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Negeri Selangor untuk mendapatkan pengurangan atau pemansuhan cukai hiburan bagi meringankan beban rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya