LONDON: Jurgen Klopp memberi bayangan akan menggunakan sistem ‘berkelajuan tinggi’ dengan menggandingkan Mohamed Salah dan Darwin Nunez apabila Liverpool berdepan kelab tercorot liga, Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.
Selepas Nunez meledak gol tunggal ketika Reds menang tipis 1-0 ke atas West Ham kelmarin, pengendali Liverpool itu sudah mendapat bayangan taktikal terbaik bagi mengeluarkan potensi sebenar penyerang Uruguay tersebut.
Nunez, 23, yang memulakan kempen dengan perlahan sejak tiba dari Benfica pada awal musim ini hanya bermula dari bangku simpanan ketika Liverpool menumpaskan Manchester City 1-0, Ahad lalu.
Begitupun, Klopp sudah beberapa kali menukar taktikal daripada 4-3-3 kepada 4-2-3-1, kemudian kembali kepada 4-3-3 bagi mendapatkan sistem terbaik.
Ditanya apakah formasi baharu menjejaskan Salah apabila terpaksa bermain di sebelah kanan, pengendali dari Jerman itu menegaskan, bintang Mesir tersebut amat fleksibel.
Attentions turn to #NOTLIV in our latest episode of Inside Training 💪
— Liverpool FC (@LFC) October 20, 2022
“Tidak sama sekali. Cuma kami perlu lebih cepat bertahan, dan Mo (Salah) juga perlu banyak membantu pertahanan.
“Ada peluang kami bermain dengan Darwin dan Mo di bahagian tengah, itu akan menjadi kombinasi berkelajuan tinggi!
“Kami masih membangunkan sistem seperti ini dan kami perlu memikirkan cara terbaik untuk permainan tertentu.

“Mo boleh bermain 10 posisi dan dia sentiasa berada di tengah (walaupun bermula di sebelah kanan) dan menamatkan situasi.
“Dia tidak bernasib baik kerana berada di sana sini tetapi tidak ada bezanya secara menyerang. Secara pertahanan ia sedikit berbeza (untuknya),” kata Klopp.
Reds tidak boleh keciciran mata di City Ground atau terus ketinggalan daripada kelompok empat terbaik.
Selepas 10 perlawanan, mereka kini di tangga ketujuh dengan 16 mata. – AGENSI