PETALING JAYA: Tan Cheng Hoe kembali ke pentas Liga Malaysia (Liga M) selaku ketua jurulatih Selangor FC dengan sentuhan cemerlang selepas membimbing kemenangan, 5-0 membenam Melaka United, sebentar tadi.
Tampil kali pertama mengendalikan Merah Kuning di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Cheng Hoe dilihat menerapkan corak tekanan sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan pengadil.
Selangor FC tidak menunggu lama untuk berada di depan selepas Nor Hakim Hassan meledak gol pembukaan pada minit ke-16 yang mengamatkan sorakan penyokong tuan rumah.
Mendahului satu gol nyata belum memuaskan Red Giants yang terus melancarkan serangan memburu gol kedua dan terhasil menerusi jaringan Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-32.
Walaupun Selangor dan Melaka United memiliki peluang untuk menjaringkan gol namun keputusan 2-0 itu kekal menuju ke bilik persalinan untuk tamat 45 minit babak pertama.
Memasuki babak kedua, ketua pasukan Brendan Gan dilihat antara pemain yang paling sibuk berlari di atas padang dan usaha kerasnya berhasil dengan gol ketiga pada minit ke-66.
Tidak terhenti dengan tiga gol, Selangor terus selesa selepas Brendan Gan sekali lagi menjaringkan gol peribadi kedua dan keempat pasukan selang 12 minit kemudian.
Penyerang import Selangor FC, Caion tidak ketinggalan untuk memahat nama selaku penjaring gol kelima pasukan untuk memastikan kemenangan mutlak pasukan. -UTUSAN ONLINE.