Bukit Aman siasat kes tembak mati tiga ahli Geng DT

Bukit Aman siasat kes tembak mati tiga ahli Geng DT

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan kes melibatkan tiga suspek yang ditembak mati selepas mencederakan polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu akan diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengambil alih sepenuhnya siasatan berkait kes itu.

Katanya, tindakan itu diambil susulan laporan dibuat ahli keluarga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa hari ini.

“JSJ Bukit Aman mengesahkan menerima laporan polis, hari ini dibuat oleh ahli keluarga kepada ketiga-tiga suspek kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan yang dilakukan oleh polis dalam kejadian tersebut.

“Siasatan sebelum ini dijalankan oleh JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kumar berkata, polis memandang serius laporan dibuat ahli keluarga suspek dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan profesional berdasarkan undang undang sedia ada bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya kepada JSJ Bukit Aman melalui talian 019-3764763,” katanya.

Sebelum ini, tiga penjenayah kes samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, awal pagi 24 November lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketiga-tiga suspek ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi sehingga mengalami kecederaan serius pada tangan kiri.

Suspek bersenjatakan parang panjang terdiri daripada dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang berumur 29 tahun dikenali Geng DT.

Geng DT dipercayai terbabit dalam 20 kes pecah rumah, kilang dan kedai makan sejak 2024 dengan anggaran kerugian mencecah RM1.3 juta.

Pasukan peguam yang mewakili keluarga suspek menuntut Bukit Aman menyiasat kematian mereka dan mendakwa si mati dibunuh secara execution style berdasarkan bukti audio dan forensik.

Peguam turut mendedahkan rakaman audio berdurasi 13 minit yang didakwa dirakam semasa kejadian dan dikatakan bercanggah dengan naratif polis berhubung kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN