KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung penyebaran klip video yang mengandungi tohmahan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki diambil alih oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kini mengendalikan kes berkenaan sepenuhnya dengan bantuan Kontinjen Kuala Lumpur bagi memastikan siasatan dijalankan secara komprehensif.
“Siasatan kini dikendalikan oleh USJT JSJ Bukit Aman dan Polis Kuala Lumpur akan membantu mereka untuk memastikan siasatan dijalankan secara komprehensif.
“Proses siasatan sedang berjalan mengikut keperluan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemantapan Polis Kuala Lumpur-Merentasi Cabaran Memacu Kesejahteraan Siri 3/2025 (Unity For Safety) di HGH Convention Centre di sini, hari ini.
Khamis lalu, SPRM membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya susulan penularan video di platform Facebook yang memaparkan perbualan antara seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dan ahli perniagaan, Albert Tei.
Perbualan dalam video itu didakwa berniat jahat dan mengandungi tohmahan yang mencemarkan imej Azam.
Dalam perkembangan berasingan, Fadil memaklumkan, kertas siasatan membabitkan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah pada September lalu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurutnya, kertas siasatan diserahkan selepas polis menerima laporan patologi daripada Jabatan Kimia.
Mengenai siasatan ke atas selebriti yang juga aktivis, Rafidah Ibrahim serta tiga lagi individu yang ditahan selepas cuba mencetuskan kekecohan pada majlis pecah tanah di Kampung Sungai Baru baru-baru ini, Fadil berkata, siasatan masih berjalan dan Rafidah masih dalam jaminan polis. – UTUSAN










