JDT tidak rela pesta bunga api ‘rosak’ kerana Sang Badak

JDT tidak rela pesta bunga api ‘rosak’ kerana Sang Badak

ONG Kim Swee tetap memberi kata-kata semangat kepada pemainnya, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan biarpun misi menumpaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim malam ini amat getir. – IHSAN SABAH FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tugas berat menanti Sabah FC untuk me­numpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super malam ini kerana Harimau Selatan tidak rela pesta mereka dirosakkan selepas bunga api dan ribuan tiket yang habis dijual bersedia untuk meraikan tahun gemilang sukan negeri Johor.

Bukan hanya JDT akan diraikan, malah kontinjen yang memenangi Sukan Malaysia (Sukma), pasukan bola jaring yang menjuarai Liga Super (NSL) serta beberapa atlet Johor yang cemerlang tahun ini turut diberi penghormatan.

Selain menjuarai Liga Super sembilan musim berturut-turut, JDT II turut dinobat sebagai juara Liga Perdana, manakala pasukan ‘adik’ mereka memenangi Piala Presiden.

Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee yang terdesak memburu tiga mata bagi menamatkan kempen selaku naib juara atau sekurang-kurangnya meraih kedudukan tiga teratas bagi mendapatkan slot ke Piala AFC terpaksa mencari formula terbaik menyekat tuan rumah.

Keadaan menjadi lebih sukar buat Sang Badak apabila kehilangan tiga tonggak akibat kecederaan dan penggantungan.

“Kami kehilangan Park (Tae-soo) selepas dia menerima kad kuning ketika menentang Sri Pahang selain Jackson (de Souza) dan (Jose) Embalo yang masih cedera.

“Pemain lain dalam keada­an baik dan saya yakin mereka yang akan diturunkan mampu menggalas tugas dengan baik,” kata Kim Swee.

Sementara itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio menegaskan, tiada ihsan buat Sabah ­biarpun mereka sudah lama di­nobat sebagai juara kerana misi Harimau Selatan adalah mengekalkan rekod tanpa kalah.

Sekiranya menang pada perlawanan terakhir itu, JDT akan mengulangi pencapaian 2016 dan 2020.

“Kita perlu menempuh satu lagi perlawanan bagi melengkap­kan musim tanpa kalah dalam saingan Liga Super.

“Kita tak mahu pemain terbeban dengan hasrat memburu rekod tersebut,” katanya yang dijangka menurunkan pasukan terkuat malam ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN