PETALING JAYA: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan selepas mudah membenam Petaling Jaya City (PJ City) 4-0 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik sebentar tadi.
Harimau Selatan yang meletakkan sasaran mengungguli kejuaraan pada musim ini menurunkan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan Syafiq Ahmad, Arif Aiman Hanapi, Leandro Velazquez dan Safawi Rasid di jentera serangan.
Beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pelawat tidak menunggu lama untuk berada didepan hasil tandukan Shahrul Saad seawal minit keempat hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Arif Aiman.
Shahrul terus menjadi watak penting dalam perlawanan ini apabila melakukan hantaran tepat buat Safawi Rasid pada minit ke-39 untuk menggandakan kelebihan buat JDT.

pemain PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Memasuki babak kedua, tekanan berterusan terus dijelmakan anak didik Hector Bidoglio untuk memastikan tuan rumah banyak berkampung di kawasan sendiri.
Pemain gantian Akhyar Rashid meletakkan JDT terus selesa dengan kelebihan tiga gol tanpa balas apabila meledak gol pada minit ke-70.
Selang sembilan minit kemudian, giliran Fernando Foresteiri pula mencetak nama selaku penjaring gol keempat buat Harimau Selatan untuk memastikan kemenangan mutlak 4-0 mengatasi PJ City FC.
Kemenangan 4-0 ini meletakkan JDT dalam keadaan selesa dan boleh dianggap sebelah kali dipentas suku akhir walaupun kedua-dua pasukan ini akan bertemu lagi pada aksi timbal balik 31 Oktober ini di Stadium Sultan Ibrahim. – UTUSAN ONLINE