Asnida didakwa, dua lagi anak Daim kena waran tangkap - Utusan Malaysia

Asnida didakwa, dua lagi anak Daim kena waran tangkap

ASNIDA Daim ketika tiba bagi pertuduhan tidak mengisytiharkan pegangan sahamnya dalam lima buah syarikat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak ­sulung bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini manakala dua anak lelakinya dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir untuk pendakwaan, semalam.

Di hadapan Hakim Rosli Ahmad, Asnida, 65, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak mematuhi terma notis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 8 November 2023 apabila gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam syarikat Amiraz Sdn. Bhd., Arida Farms Sdn. Bhd., Kangkung Catering Sdn. Bhd., Transgrade Sdn. Bhd. dan Gajah 3 Foods Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 13 Di­sember 2023 di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan dituduh mengikut Seksyen 36 (1) (b) Akta SPRM 2009.

Asnida boleh dihukum me­ngikut Seksyen 36 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000.

Pada Januari 2024, Daim dan isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid turut didakwa atas pertuduhan serupa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala Asnida diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar.

Pendakwaan mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dan turut memohon pasport tertuduh di­serahkan kepada mahkamah kerana kesalahan yang dipertuduhkan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, Gurdial me­mohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM15,000 dan turut memaklumkan bahawa anak guamnya telah mengisytiharkan 16 hartanah kepada SPRM.

Peguam itu turut memaklumkan, Asnida telah memberi penjelasan kepada SPRM bahawa syarikat-syarikat yang didakwa mempunyai pegangan saham tidak lagi aktif dan dalam proses penggulungan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mei ini.

Sementara itu, Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap dua anak lelaki Daim, Muhammed Amir Zainuddin, 31, dan Muhammed Amin Zainuddin, 28.

Turut dikenakan waran tangkap ialah seorang ahli perniagaan, Josephine Premla. Di­fahamkan, wanita itu merupakan rakan perniagaan (business associates) keluarga Daim.

Asnida merupakan anak sulung daripada perkahwinan Daim dengan Mahani Idris manakala Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin merupakan anak bersama Na’imah.

Majistret membenarkan per­mohonan waran tangkap di­keluarkan selepas mendapati terdapat sebab untuk mempercayai bahawa ketiga-tiga individu berkenaan telah melarikan diri.

“Saya percaya penama-penama mempunyai pengetahuan mengenai siasatan SPRM melalui penyertaan peguam di dalam surat menyurat antara mereka, namun setelah masa diberikan, penama masih gagal memberikan kerjasama.

“Bagi penama Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, tiada dokumen sokongan untuk membuktikan mengenai ketidakhadiran mereka ke pejabat SPRM dan daripada surat pertama sehingga surat peguam yang terakhir, tiada sebarang dokumen untuk mengesahkan ketidakhadiran mereka serta maklumat lanjut mengenai universiti (yang dihadiri oleh dua beradik itu).

“Penama ketiga (Josephine) (juga tidak melampirkan dokumen) mengenai lawatan ke luar negara,” kata Illi Marisqa.

Terdahulu, peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili dua anak lelaki Daim membantah permohonan tersebut dengan alasan tiada notis pertuduhan terhadap dua anak guamnya dikemukakan, sebelum permohonan waran tangkap boleh dibuat.

Mahadi dalam ­hujahannya menyatakan, permohonan wa­ran tangkap dibuat selepas dua beradik itu gagal hadir seba­nyak tiga kali sejak diarahkan oleh SPRM pada 14 Februari lalu manakala Josephine gagal hadir sebanyak dua kali.

Katanya, selepas gagal hadir buat kali pertama, peguam dua beradik itu menghantar surat memaklumkan SPRM bahawa Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin berada di luar negara pada ketika itu dan kemudian mengeluarkan surat arahan kedua kepada mereka untuk hadir memberi keterangan pada 11 Mac lalu.

Muhammad ­Nizamuddin me­mohon penangguhan pelak­sana­an waran tersebut sehingga permohonan untuk mengetepikan waran tangkap didengar dan diputuskan.

Majistret membenarkan permohonan penangguhan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN