KUALA LUMPUR: Sebarang kes rasuah atau penyalahgunaan kuasa di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini tidak boleh dipandang enteng.
Ini kerana, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, ia melibatkan integriti dan tadbir urus institusi pendidikan negara.
Katanya, kementerian tidak pernah memandang ringan sebarang isu rasuah meskipun kes yang berlaku dianggap kecil atau terpencil.
“Bagi kita, soal terpencil atau tidak bukan perkara yang boleh dianggap enteng. Apa sahaja yang melibatkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah di mana-mana institusi termasuk universiti dan politeknik perlu dipandang serius.
“Kita tidak bertolak ansur dalam hal seperti ini. Sama ada sedikit atau banyak, jika ada masalah rasuah, ia tetap satu masalah rasuah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di Wyndham Grand Bangsar, semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, IPT yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini menjadi ‘lubuk rasuah’ apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.
Lebih membimbangkan, perbuatan itu bukan sahaja melibatkan urusan pentadbiran dan kewangan, malah turut meresap dalam aspek akademik seperti pemberian markah, kelulusan kursus dan peluang penyelidikan sehingga mencemarkan nilai sebenar ilmu.
Selain itu, geran yang diberikan kepada pensyarah untuk pelaksanaan sesuatu projek atau kajian penyelidikan juga disalah guna.
Zambry berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat kes yang perlu disiasat. – UTUSAN










