LONDON: Arsenal mengukuhkan kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas menumpaskan 10 pemain Tottenham 3-1 dalam pertembungan dua kelab utara London, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan Gunners melebarkan rekod tanpa kalah di laman sendiri kepada tujuh perlawanan dalam semua pertandingan.
Arsenal bermula dengan baik dan hampir mendahului seawal minit ketiga, namun rembatan separuh voli Gabriel Martinelli sekadar menggegar tiang.

Tekanan berterusan skuad bimbingan Mikel Arteta akhirnya membuahkan hasil apabilla Thomas Partey melepaskan rembatan jauh untuk menewaskan penjaga gol lawan, Hugo Lloris pada minit ke-20.
Tersentak dengan jaringan itu, Tottenham melakukan serangan balas untuk mencari gol penyamaan dan akhirnya, mereka dihadiahkan penalti pada minit ke-31 selepas Gabriel melakukan kekasaran terhadap Richarlison dalam kawasan penalti.
Harry Kane tidak melakukan kesilapan dengan menyempurnakan sepakan ke bahagian tengah, menewaskan Aaron Ramsdale untuk gol penyamaan Spurs, dan jaringannya yang ke-100 dalam Liga Perdana.

Ketika permainan tampak semakin seimbang, kesilapan Lloris di awal babak kedua menghukum Tottenham apabila Gabriel Jesus memanfaatkan dua tepisan lemah penjaga gol Perancis itu untuk tuan rumah kembali mendahului pada minit ke-47.
Keadaan menjadi bertambah buruk buat Tottenham apabila bek kanan mereka, Emerson Royal dilayangkan kad merah pada minit ke-62 kerana melakukan melakukan terjahan ke tulang kering Martinelli.
Gunners memanfaatkan kelebihan beraksi dengan 10 pemain lawan apabila Granit Xhaka dengan tenang melepaskan rembatan rendah ke penjuru gawang untuk memberikan pasukan Arteta kemenangan di tempat sendiri buat kali ketiga berturut-turut. – AGENSI