fbpx

Bagnaia, Quartararo perlu bekerja keras

Francesco Bagnaia (kiri) dan Marc Marque dalam sesi kelayakan Grand Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

SEPANG: Pertarungan sengit dijangka berlangsung antara dua pendahulu kejuaraan MotoGP dunia, Francesco Bagnaia dan Fabio Quartararo yang gagal merebut petak hadapan pda Grand Prix Malaysia semalam.

Pelumba Itali, Bagnaia yang kini mengumpul 233 mata untuk berada di kedudukan pendahulu pelumba MotoGP melengkapkan kelayakan di tempat kesembilan setelah mencatat 1 minit 58.862 saat (s).

Pencabar terdekatnya yang merupakan juara dunia musim lalu, Fabio Quartararo di kedudukan ke-12 dengan masa sepusingan 1:59.215s.

Walaupun kedua-duanya gagal berada dalam kelompok tiga terbaik, Bagnaia dan Quartararo dari Perancis dijangka sanggup melakukan apa sahaja untuk mengungguli GP Malaysia hari ini.

Pada ketika ini, peluang ke­dua-dua pelumba itu untuk merangkul gelaran dunia masih terbuka setelah hanya dipisahkan 14 mata dengan Bagnaia berpeluang merangkul kejuaraan di Malaysia jika menamatkan perlumbaan de­ngan perbezaan 11 mata ke atas Quartararo.

Francesco Bagnaia berbincang dengan krew pasukan selepas melengkapkan pusingan kelayakan MotoGP di Sepang semalam.

Quartararo, 23, kini me­ngumpul 219 mata untuk menghuni tempat kedua dan pelumba Yamaha itu perlu be­kerja keras menyekat Bagnaia bagi membawa pertarungan merebut gelaran ke perlumbaan terakhir di Valencia, 6 November ini.

Mengungguli aksi kelayakan pelumba Sepanyol, Jorge Martin yang mencatat masa terpantas 1:57.790s, manakala tempat kedua milik Enea Bastianini dari Itali (1:58.246s) dan juara dunia enam kali, Marc Marquez dari Sepanyol ketiga.

“Saya mempamern aksi baik di Phillip Island dan berlumba di sini pula, saya mula mendapatkan perasaan untuk terus bersaing sengit, sekali gus memperbaiki persembahan setelah melakukan sehabis mungkin pada kelayakan,” kata Martin.

Sementara itu, Marquez berkata, dia sama sekali tidak menduga berjaya menamatkan aksinya di kedudukan kedua kerana agak bergelut.

“Saya sedikit bergelut dengan jentera. Saya hilang banyak masa di laluan lurus, saya tidak tahu bagaimana boleh berada di hadapan kerana pada sesi latihan sebelah pagi keadaan jentera saya tidak berapa bagus,” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN