Awas Kedah, Jang akan lebih garang di Paroi - Devan

Awas Kedah, Jang akan lebih garang di Paroi – Devan

PEMAIN sayap Kedah, Mohd. Fayadh Zulkifli Amin (kanan) diasak dua pemain Negeri Sembilan dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekalan satu gol belum mampu membuatkan pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan merasa selesa bagi menghadapi perlawanan timbal balik pusingan awal Piala Malaysia menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Selasa depan.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, anak-anak buahnya tidak seharusnya leka dengan kelebihan tersebut memandangkan KDA FC dilihat turut memiliki peluang untuk memadam jurang itu dengan cuma menjaringkan satu gol di Paroi nanti.

Justeru katanya, beliau mahu memastikan kelebihan tersebut digunakan sebaik mungkin apatah lagi pasukan tersebut mungkin memiliki peluang cerah melangkah ke suku akhir termasuk bersandarkan kepada faktor beraksi di gelanggang sendiri.

PENYERANG Negeri Sembilan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak (kanan) dikawal dua pemain Kedah dalam aksi Piala Malaysia di Alor Setar malam tadi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

“Saya fikir kita boleh bermain lebih baik di Paroi apatah lagi jika dibandingkan dengan keadaan padang yang cukup basah di sini. Lagi pula, kita dijangka mendapat tambahan satu dua pemain lagi yang digantung perlawanan serta cedera seperti Gustavo Almeida.

“Memang kami belum selesa tetapi dalam keadaan sekarang, NSFC memiliki peluang terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya. Jadi kami tak mahu mensia-siakan peluang itu dan akan terus berusaha menampilkan yang terbaik dalam perlawanan timbal balik nanti,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman malam tadi, NSFC berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas KDA FC di Stadium Darul Aman meskipun Skuad Jang dikejutkan dengan gol seawal minit ke-6 oleh pemain lincah tuan rumah, Fayadh Zulkifli.

Hasil usaha keras ditampilkan, NSFC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-41 menerusi pemain pertahanan, Che Rashid Che Halim sebelum penyerang import dari Brazil, Matheus Alves Leandro meledak gol kemenangan pada minit ke-66.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Devan mengakui anak-anak buahnya pada awal perlawanan agak sukar untuk mendapatkan rentak memandangkan perlawanan berlangsung dalam keadaan padang becak akibat hujan lebat lebih dua jam.

PENJAGA gol Kedah, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim (kiri) menghalang percubaan penyerang Negeri Sembilan, Mohd. Zaquan Adha di Alor Setar malam tadi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

“Apabila pemain dapat menyesuaikan diri, kami mula menguasai perlawanan dan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-41. Gol itu benar-benar melonjakkan semangat pemain dan perkara itu dapat dilihat ketika kami masuk ke bilik persalinan pada waktu rehat.

“Kami memulakan babak kedua dengan bertahan kerana KDA FC tampak galak menyerang. Namun selepas itu para pemain kembali mengawal keadaan dan kami berjaya menghasilkan gol kemenangan melalui gerakan cukup cantik,” katanya.

Devan menambah, perlawanan menentang KDA FC sentiasa sukar memandangkan kedua-dua pasukan sudah tiga kali bertemu musim ini dan seakan saling mengetahui kekuatan serta kelemahan masing-masing.

“Namun pemain kami berjaya melakukan perkara sepatutnya, seperti dirancang. Usaha kami memberikan kawalan ketat kepada pemain-pemain KDA FC yang dilihat sentiasa berbahaya untuk menghasilkan jaringan, tampak berhasil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya