MANCHESTER: Menyedari Manchester United terdesak mencari pemain baharu pada jendela perpindahan lalu, beberapa kelab menawarkan 15 pemain yang ‘tidak diingini’ kepada Red Devils seminggu sebelum pasaran ditutup.
Selepas usaha United mendapatkan Adrien Rabiot dan Marko Arnautovic gagal, mereka dilihat berada dalam keadaan sukar memasuki minggu kedua bulan Ogos.
Menurut wartawan bola sepak Itali, Fabrizio Romano, pemain tengah menjadi keutamaan United dan paling banyak ditawarkan selepas mereka terlepas Rabiot dan Frenkie de Jong.

Juventus menawarkan Weston McKennie, Chelsea mahu melepaskan Christian Pulisic, Napoli hendak menjual Hirving Lozano, manakala Atletico Madrid dengan Yannick Carrasco tetapi semuanya ditolak oleh United.
Red Devils juga dikatakan mengadakan rundingan dengan Paris Saint-Germain (PSG) untuk mendapatkan Leonardo Paredes yang akhirnya dipinjamkan kepada Juventus.

Barcelona pula ingin melepaskan Sergino Dest, manakala Borussia Dortmund bersedia berunding dengan United mengenai Thomas Meunier.
United akhirnya mendapatkan pemain sayap, Antony daripada Ajax.
Begitupun, perjanjian hanya dilakukan di saat akhir selepas kelab Belanda itu menolak tawaran awal dan mengambil kesempatan menaikkan harga bintang Brazil tersebut kepada 85 juta pound (RM445 juta). – AGENSI