SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung sepanjang penganjurannya pada 28 Ogos hingga 6 September tahun depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, beliau optimis sasaran tersebut dapat dicapai berikutan persiapan rapi dan pengisian lebih besar yang dirancang bagi edisi kali ini.
Katanya, MAHA 2026 turut menyasarkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM8 bilion dan nilai jualan RM58 juta sepanjang berlangsungnya acara itu.
“Saya yakin MAHA 2026 mampu mencapai sasaran ini. Malah dengan kerjasama semua pihak, saya percaya kita berupaya melepasi pencapaian terdahulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, penganjuran MAHA 2026 akan menampilkan lebih 2,000 pempamer serta penglibatan 800,000 belia dalam pelbagai program dan aktiviti.
Katanya, edisi kali ini menerima maklum balas awal yang sangat memberangsangkan termasuk minat tinggi daripada pemain industri tempatan dan antarabangsa.
“MAHA 2026 bakal menampilkan lebih banyak ‘wow factor’ seperti pameran teknologi terkini, program belia dan segmen pendidikan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Beliau berkata, penganjur juga komited memastikan pengalaman pelawat lebih menyeluruh melalui pengisian seperti Pavilion Negeri, pameran teknologi pertanian, persembahan laser dan air serta agro safari.
“Saya percaya pengisian ini akan memberi pendedahan baharu kepada masyarakat dan meningkatkan minat golongan muda terhadap sektor pertanian,” katanya.
Mohamad turut mengumumkan bahawa MAHA 2026 akan berlangsung bersempena minggu sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos.
“Kita berharap mereka yang hadir ke sambutan kemerdekaan boleh turut memeriahkan MAHA 2026,” katanya.
MAHA 2026 membawa tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) untuk memperkukuh keseluruhan rantaian ekosistem agromakanan negara. – UTUSAN










