PETALING JAYA: Sebanyak RM9.16 bilion telah disumbangkan kepada ekonomi negara melalui eksport produk berasaskan teknologi nuklear tempatan sepanjang tempoh tahun 2015 hingga tahun lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sebanyak 348 buah syarikat tempatan terlibat sebagai pengeksport produk berteknologi nuklear ke pasaran antarabangsa,
“Antara negara yang mengimport produk tempatan berasaskan teknologi nuklear termasuklah Singapura, Amerika Syarikat, Brunei, Jepun, Jerman, Belanda dan Thailand.
“Pengeksport produk berasaskan teknologi nuklear penting kerana mampu meningkatkan kualiti, ketepatan dan daya saing sektor industri tempatan di pasaran antarabangsa.
“Antara barangan dieksport ialah peralatan sinar-X untuk industri dan perubatan, penjana X-ray, serta peralatan berasaskan sinaran alfa, beta dan gamma bagi sektor perubatan, pertanian dan E&E,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Media Showcase bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Agensi Nuklear Malaysia, Bangi hari ini.
Tambah Lih Kang, mungkin ramai tidak tahu yang teknologi nuklear juga boleh digunakan bagi meningkatkan kualiti tanaman dan ketahanan terhadap serangga perosak melalui teknik sinaran yang terkawal.
“Penggunaan teknologi nuklear dalam pertanian membolehkan negara mempertingkatkan hasil tanaman dan kualiti makanan, sekali gus membantu petani meningkatkan pendapatan secara mampan.
“Masyarakat perlu sedar kepentingan sektor ini kerana manfaatnya akan dinikmati secara langsung oleh rakyat melalui produk pertanian yang lebih selamat dan berkualiti tinggi.
“Masyarakat perlu tahu bahawa tenaga nuklear ini mampu menyumbang secara langsung kepada sektor perubatan, pertanian serta industri elektrik dan elektronik (E&E) dan keuntungan tersebut adalah bukti bahawa teknologi nuklear adalah penting,” katanya. – UTUSAN










