KUALA TERENGGANU: Terengganu FC menegaskan, tiket yang diperuntukan kepada pasukan itu untuk final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu depan memang laris dan tidak berlaku unsur ketirisan.
Kelmarin, penyokong Penyu menyuarakan rasa pelik selepas 39,000 tiket yang dijual secara dalam talian habis tidak sampai empat jam selepas jualan dibuka pada pukul 10 pagi Rabu.
Apa yang membuatkan mereka tertanya-tanya apabila jualan tiket lawan mereka di final, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih boleh diperoleh biarpun kedua-dua pasukan menjual tiket serentak, malah Harimau Selatan juga mempunyai kelompok penyokong yang besar.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh berkata, menjual tiket secara dalam talian memang menjadi amalan mereka, dan keutamaan diberikan kepada lebih 15,000 pemegang kad keahlian, pas bermusim serta pembeli tiket perlawanan Liga Super bertemu Sarawak United.

“Tempoh penjualan tiket final Piala FA bagi ketiga-tiga kategori pembeli itu dibuka pada 28 sehingga 30 Ogos berbanding penyokong biasa iaitu pada 31 Ogos.
“TFC telah membuat promosi antaranya dengan membeli tiket perlawanan liga bertemu Sarawak United jika mahu mendapatkan akses kepada tiket final Piala FA lebih awal.
“Ini ialah kaedah terbaik bagi penyokong mendapatkan tiket dan kami menghargai keterujaan peminat yang telah menanti selama 11 tahun untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, sistem penjualan tiket dalam talian lebih berkesan bagi mengelak isu ulat tiket.
Jelasnya, setiap pembeli sudah mengisi maklumat peribadi dan tiket berkenaan tidak boleh dipindah milik selain tidak berlaku isu beratur panjang di kaunter stadium seperti sebelum ini.
Kelmarin, tular di media sosial kekecewaan penyokong setia TFC yang gagal mendapatkan tiket final Piala FA pada 10 September ini.
Rata-rata mereka mendakwa berlaku ketidakadilan menerusi jualan dalam talian sehingga wujud harga tidak masuk akal RM500 seorang bagi sewaan bas termasuk tiket.