PETALING JAYA: Sebanyak 214 kompaun telah dikeluarkan terhadap premis yang terlibat dalam jenayah alam sekitar menerusi siri penguatkuasaan Op Hazard 1.0 hingga 3.0.
Dalam operasi yang sama, kira-kira 4,714 metrik tan sisa elektronik (e-waste) bernilai lebih RM23.79 juta turut dirampas di seluruh negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup berkata, operasi bersepadu yang dilaksanakan secara berfasa itu memberi fokus kepada pematuhan industri terhadap pengurusan buangan terjadual.
Menurutnya, sehingga tamat Op Hazard 3.0 pada 8 April lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan tegas terhadap premis yang didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan berkaitan.
“Kejayaan operasi tersebut membuktikan komitmen kementerian dalam menjaga kedaulatan alam sekitar negara dan membanteras aktiviti pemprosesan e-waste haram secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang telah diwartakan kini memperuntukkan hukuman lebih tegas termasuk denda sehingga RM10 juta atau hukuman penjara.
“Kementerian komited memastikan Malaysia bebas daripada menjadi tempat pelupusan sisa haram, selain memperhebat operasi penguatkuasaan bagi memastikan tiada ruang buat dalang aktiviti jenayah alam sekitar,” katanya. – UTUSAN










