KUALA LUMPUR: Sukan Malaysia (Sukma) sentiasa menjadi ‘lubuk’ untuk negara melahirkan atlet berbakat besar yang kemudiannya diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurut beliau, majoriti atlet handalan yang pernah dilahirkan negara semuanya bermula di pentas Sukma.
“Mengimbau detik bermula temasya Sukma yang pertama kali diadakan pada 1986, objektif utama kejohanan kekal berada dalam landasan tepat.
“Namun, matlamat kita bukanlah semata-mata untuk melahirkan seberapa ramai atlet tetapi lebih utama ialah untuk menghasilkan atlet yang memahami secara terperinci berkenaan industri sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu menghadiri upacara pembukaan Sukma ke-20 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, malam tadi.

Ahmad Faizal memberitahu, berdasarkan rekod yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2017, nilai industri sukan mencecah lebih RM18.8 bilion dengan melibatkan lebih 36,511 orang tenaga kerja.
“Pada masa sama, kita juga mewujudkan Pelan Induk Industri Sukan Malaysia (PISMA) bagi menyediakan perancangan dan strategi lebih jelas dalam merangka perkembangan industri sukan.
“Kementerian Belia dan Sukan menjangkakan, sasaran kadar pertumbuhan syarikat industri sukan akan meningkat sebanyak 30 peratus.
“Begitu juga dengan sasaran perbelanjaan isi rumah untuk kategori sukan dengan peningkatan lima peratus bagi setiap tahun,” ujarnya.
Katanya lagi, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai jualan barangan sukan sejak 2018 sehingga 2021 melebihi RM845 juta.

Justeru, Ahmad Faizal menggesa kepada para atlet agar sedar bahawa sukan bukanlah sekadar memenangi sesebuah pertandingan, tetapi ia melebihi daripada itu kerana bidang tersebut turut menjadi antara penyumbang besar kepada sektor ekonomi negara.
Mengulas lanjut tentang penganjuran Sukma, beliau berkata, temasya kali ini, menghimpunkan kelompok atlet bawah 23 tahun berbanding had umur asal 21 tahun, menerusi 31 jenis sukan dengan 426 acara.
“Had umur ini dinaikkan bagi memberi peluang kepada para atlet yang sudah membuat persiapan rapi sejak dua tahun lalu, namun, gagal menyertai Sukma kerana ditangguhkan akibat Covid-19,” katanya.
Jelas Ahmad Faizal, terdapat lebih 6,652 atlet telah berdaftar bagi menyertai Sukma kali ini dan sebanyak 44 venue pertandingan terlibat pada penganjuran temasya dwi tahunan itu meliputi kawasan sekitar Lembah Klang, Nilai, Sendayan dan Pulau Langkawi.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Brunei yang turut menghantar kontinjen bagi menyertai Sukma dan yakin penyertaan negara jiran tersebut bukan sahaja memeriahkan acara, malah, memberi saingan kepada negeri-negeri bertanding. – UTUSAN ONLINE