Pemandu traktor naikkan upah bajak sawah

Pemandu traktor naikkan upah bajak sawah

PEMILIK traktor di Sungai Manik di Pasir Salak terpaksa menaikkan kadar upah membajak berikutan kenaikkan harga diesel bagi kegunaan jentera sawah. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pemilik traktor di Labu Kubung, Sungai Manik di sini terpaksa menaikkan kadar upah membajak tanah sawah susulan kenaikan harga diesel yang menjejaskan kos operasi harian mereka.

Pemandu traktor, Khairul Azwan Mohd. Yusof, 37, berkata, kadar baharu itu tidak dapat dielakkan kerana bahan api merupakan kos utama dalam kerja-kerja pembajakan.

Menurutnya, kadar membajak tanah peringkat satu dinaikkan daripada RM95 kepada RM150 seekar, manakala peringkat dua daripada RM75 kepada RM130 dan peringkat tiga daripada RM55 kepada RM100 seekar.

“Kenaikan ini terpaksa dibuat bagi menampung kos diesel yang semakin meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kenaikan kadar upah berkenaan turut menimbulkan rungutan dalam kalangan pesawah kerana ia meningkatkan kos penanaman padi musim baharu.

“Pesawah terpaksa menanggung kenaikkan kos kira-kira 50 peratus untuk menanam padi musim ini dan ini sudah tentu membebankan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Peladang AI Kampung Permatang Pelandok, Labu Kubong, Chenderong Balai di sini, Ahmad Rozi Yahya, 56, berkata, pemilik jentera dalam dilema untuk menaikkan kadar upah jentera kerana bimbang membebankan pesawah.

Katanya, namun mereka tiada pilihan berikutan peningkatan kos bahan api.

“Dalam masa sama, pesawah memahami situasi itu, tetapi sawah tetap perlu diusahakan kerana ia merupakan sumber pendapatan kami.

“Pesawah kesal terhadap kenaikan mendadak harga diesel yang membebankan golongan pengguna bahan api tersebut,” katanya.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, harga petrol RON97 turun 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter bagi tempoh sama.

Menurut kenyataan itu, penetapan harga runcit petroleum dibuat berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) selaras dengan pergerakan harga minyak mentah dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN