PETALING JAYA : Skuad bawah 19 (B-19) kebangsaan gagal meraih mata untuk sekurang-kurangnya menempatkan diri layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan selepas kecundang 6-2 ditangan Korea Selatan.
Kekalahan ini menyaksikan skuad bimbingan Hassan Sazali Waras hanya mampu mengumpul empat mata selepas berakhirnya tiga perlawanan dalam Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, sebentar tadi.
Turun berdepan Korea Selatan, skuad negara dilihat berjaya memberikan tentangan pada awal permainan sebelum gawang Malaysia yang dikawal Syahmi Adib Haikal bocor pada minit ke-34 menerusi penyerang berbisa, Lee Youngjun.
Walaupun Korea Selatan memiliki beberapa peluang menggandakan kelebihan namun ketangkasan Syahmi memastikan kelebihan satu gol berpihak lawan untuk 45 minit babak pertama.
Korea Selatan yang dibimbing Kim Eun Jung tidak menunggu lama untuk mendahului dua gol menerusi Bae Junho selepas lima minit bersambung babak kedua.
Ketinggalan dua gol tidak melemahkan semangat pemain negara yang terus memberikan saingan memburu gol dan terhasil menerusi Adam Farhan Faizal pada minit ke-55.
Kegembiraan pemain negara meraikan gol tersebut tidak lama apabila Ketua pasukan Korea Selatan, Lee Seungwon menjaringkan gol ketiga selang dua minit kemudian.
Skuad negara semakin parah apabila pertahanan kental, Muhammad Ubaidullah Shamsul diperintahkan keluar padang pada minit ke-63 selepas menerima layangan kad kuning kedua.
Kekurangan seorang pemain bukan halangan buat Malaysia untuk mendapatkan gol selepas Aliff Izwan Yuslan merapatkan jurang menerusi jaringan kedua pada minit ke-68.
Menyedari kebangkitan skuad negara, Korea Selatan melakukan beberapa pertukaran dan mereka akhirnya berjaya menambah jaringan menerusi Youngjun (m-74 dan m-81) sebelum Seungwon melengkapkan kemenangan 6-2 menerusi sepakan penalti dipenghujung babak kedua.
Lima pasukan terbaik selaku naib juara di kalangan 10 kumpulan dalam kempen kelayakan akan mengiringi juara setiap kumpulan secara automatik ke pusingan akhir kejohanan di Uzbekistan tahun depan.