NEW YORK: Emma Raducanu bakal mengalami kejatuhan drastik dalam ranking dunia, dari tangga 11 ke kedudukan sekitar 80 selepas tersingkir seawal pusingan pertama tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam.
Turun sebagai juara bertahan, bintang remaja Britain itu bagaimanapun tunduk straight-set 3-6, 3-6 kepada pemain Perancis, Alize Cornet.
Prestasi pemain berusia 19 tahun itu jauh lebih buruk daripada apa yang dilakukan 12 bulan lalu, ketika dia memahat sejarah meraih trofi Grand Slam pertama biarpun memulakan aksi dari pusingan kelayakan.
“Sudah tentu ia sangat mengecewakan terpaksa meninggalkan tempat ini lebih awal. Terbuka AS kejohanan kegemaran saya.
“Saya akan mengalami kejatuhan ranking tetapi saya pasti bangkit dan mendaki semula, memenangi satu lagi kejohanan,” kata Raducanu.

Sementara itu, Cornet, 32, yang akan menentang Katerina Siniakova di pusingan kedua meminta maaf kepada peminat kerana mengecewakan pemain kegemaran mereka.
“Saya sedar, ramai di sini yang meminati Emma. Dia pemain yang hebat dan seorang yang baik, jadi saya minta maaf kerana mengalahkannya hari ini,” katanya.
Dalam saingan lelaki, bekas pemain No. 1 dunia, Rafael Nadal mengelak mimpi ngeri apabila kembali ke Flushing Meadows selepas tiga tahun dengan menewaskan pemain muda Australia, Rinky Hijikata 4-6, 6-2, 6-3, 6-3.
Kali terakhir Nadal beraksi dalam Terbuka AS adalah pada 2019, di mana dia muncul juara.
Pada edisi 2020, pemain Sepanyol itu menarik diri kerana kebimbangan terhadap Covid-19, manakala tahun lalu dia mengalami kecederaan kaki.
“Sudah tiga tahun sejak kali terakhir saya menjejakkan kaki di sini, dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” kata Nadal yang akan berdepan pemain Itali, Fabio Fognini pada pusingan kedua hari ini. – AGENSI