LONDON: Roger Federer tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas melihat Frances Tiafoe bangkit meraih kemenangan dramatik ke atas Stefanos Tsitsipas untuk membantu Pasukan Dunia menjulang kejuaraan tenis Piala Laver buat kali pertama, menumpaskan Pasukan Eropah yang diketuai olehnya semalam.
Tiafoe bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menang 1-6, 7-6 (13/11), 10-8 di O2 Arena, sekali gus memberikan kemenangan 13-8 buat Pasukan Dunia ketika kempen Piala Laver masih berbaki satu perlawanan.
Jaguh Amerika Syarikat (AS) itu sebelum ini turut mengecewakan Federer dalam saingan beregu apabila gandingannya bersama Jack Sock menumpaskan kombinasi Federer-Rafael Nadal 4-6, 7-6 (7/2), 11-9 pada penampilan terakhir legenda Switzerland itu sebagai pemain tenis profesional, Sabtu lalu.

“Ya, sudah tentu saya kecewa. Saya berada dalam pasukan, hampir kehilangan suara dan tangan saya sakit akibat bertepuk.
“Kami mengharapkan keputusan berbeza. Saya beritahu Andy Murray di bilik persalinan, saya tidak suka kalah. Ia tidak menyeronokkan.
“Ia hanya meninggalkan rasa tidak baik, anda tahu. Saya fikir sebaik sahaja berada di sana dan merasai kejayaan, ia tidak sama.
“Saya harap malam ini boleh menjadi malam yang menyeronokkan. Sudah tentu hujung minggu ini menjadi tempat untuk saya menikmati permainan tetapi malangnya kami tidak meraih kemenangan.
“Tahniah kepada Pasukan Dunia, kebangkitan semula yang menakjubkan.
“Saya tidak sabar menunggu kejohanan ini tahun depan dan akan memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan,” kata pemilik 20 gelaran Grand Slam itu yang bersara pada usia 41 tahun. – AGENSI